Hazwan ketika menjual topi keledar Shoei jenis J- Force II Jack Red kepada Mok baru-baru ini.
Hazwan ketika menjual topi keledar Shoei jenis J- Force II Jack Red kepada Mok baru-baru ini.
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: "Topi keledar yang dijual pada harga puluhan ribu ringgit itu adalah unik dan sukar ditemui di negara ini," kata penjual topi keledar yang mahu dikenali sebagai Hazwan, 29.

Hazwan adalah pemilik topi keledar yang dijual dengan harga RM47,000 sehingga menjadi 'viral' di Facebook (FB), baru-baru ini.

Bapa kepada seorang anak berusia lapan bulan itu berkata, topi keledar Shoei jenis J- Force II Jack Red berwarna merah yang dijual diperolehi dari Jepun melalui seorang pengantara dari Singapura yang membuat bidaan harga sebelum dibawa masuk ke negara ini.

"Saya menganggap harga yang ditawarkan selepas melakukan bidaan iaitu RM47,000 itu sangat berpatutan berbanding harga sebenar iaitu lebih RM60,000.

"Selepas seminggu dibawa masuk ke Malaysia, topi keledar itu dibeli oleh seorang lelaki India berusia 30-an dikenali sebagai Mok yang juga penggemar dan pengumpul barangan itu pada Isnin lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.

Katanya, lelaki itu ada memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah sekian lama mencari topi keledar berkenaan selain hobinya yang gemar mengumpul topi keledar.

"Dia (Mok) teruja ketika melakukan pembelian dan wang bukan halangan baginya untuk memenuhi kehendak dan kepuasannya," katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu ambil peduli reaksi dan pandangan negatif yang dilemparkan segelintir pengguna di FB yang mengecam harga topi keledar itu.

"Pada awalnya saya agak terkejut apabila gambar yang dimuat naik melalui FB saya menjadi ‘viral’.

"Saya baru dua bulan menjalankan perniagaan ini dan alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penggemar topi keledar di negara ini.

"Semuanya timbul kerana minat tidak kiralah harga RM100,000 sekalipun kalau sudah minat itu semua bukan halangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 8:49 PM