TIGA pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi bersama piala dimenangi selepas muncul juara pada pertandingan World Robot Olympiad (WRO) Kategori Junior sempena World Adolesent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China, semalam. FOTO Ihsan Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi
TIGA pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi bersama piala dimenangi selepas muncul juara pada pertandingan World Robot Olympiad (WRO) Kategori Junior sempena World Adolesent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China, semalam. FOTO Ihsan Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi
Mohd Sabran Md Sani


TIGA pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI), Kota Tinggi mengharumkan nama negara apabila muncul juara pada pertandingan World Robot Olympiad (WRO) Kategori Junior sempena World Adolesent Robot Contest (WARC) 2018 di Guizhou, China, semalam.

Mereka iaitu Muhammad Aqilzafry Nor Kamaruzan, Akmal Syahmi Shahrel dan Muhammad Allif Azri Mohd Zaini, masing-masing berusia 15 tahun menewaskan lebih 100 peserta dari 57 negara bagi Kategori Regular Sekolah Menengah Rendah.

Kemenangan kumpulan diberi nama SAKTI TIGER itu membolehkan anak didik guru fizik yang juga mentor, Mohd Ahir Samsuri membawa pulang pingat dan trofi kemenangan.

Pengetua SAKTI Mohamad Mahadi dan Penyelia Ko-Akademik Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Ishak Ismail turut memberikan sokongan sepanjang pertandingan bermula 20 Julai hingga semalam.

Guru Kanan Kokurikulum SAKTI Norjaslina Isa berkata, warga sekolah bersyukur dengan kejayaan diraih kumpulan itu pada pertandingan robotik peringkat dunia.

Menurutnya, pasukan itu berdepan cabaran sengit terutama daripada peserta Rusia, namun berkat kesungguhan dan latihan sejak tahun lalu, akhirnya mereka berjaya muncul juara dunia.

“Bagi peringkat negeri, tiga pelajar itu muncul juara dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) tahun ini dan kini, kami tidak menyangka mereka bergelar juara dunia bagi kategori junior.

“Kejayaan itu berkat kesungguhan mereka menjalani latihan sejak tahun lalu dan syukurlah, semua latihan serta ilmu dan diperoleh digunakan sepenuhnya pada pertandingan itu,” katanya.

Ia bukan kejayaan pertama kali diraih SAKTI sebaliknya pernah memenangi pingat emas kategori menengah rendah dalam kejohanan sama di Sochi, Russia pada 2014.

Sekolah itu juga kerap menghantar wakil ke beberapa pertandingan robotik di peringkat antarabangsa termasuk di Indonesia, Russia, Qatar, Korea, India dan Hong Kong.

Terdahulu kejayaan pasukan negara itu dikongsi Kementerian Pendidikan Malaysia dengan ucapan 'Tahniah' atas kejayaan tiga remaja SM Sains Kota Tinggi muncul johan pertandingan WARC 2018 di China, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 6:49 PM