Kuala Lumpur: Penghantaran telefon pintar dan tablet ke Malaysia meningkat sebanyak 42 peratus dan 15 peratus masing-masing kepada 4.8 juta unit dan 900,000 unit pada separuh pertama 2015 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Laporan Pengesan Telefon Mudah Alih dan Tablet Suku Tahunan Asia/ Pasifik International Data Corp (IDC), pasaran telefon pintar terus dikuasai vendor China dan Taiwan, manakala tablet kekal dikuasai vendor global.

IDC berkata, pemangkin pertumbuhan ialah harga sebahagian besar telefon pintar kurang daripada RM500 disertakan bersama dengan pek SIM (modul identiti pelanggan) daripada pengendali tempatan.

“Begitu juga dengan tablet dan peranti berharga kurang daripada RM300,” kata penganalisis pasaran, Jensen Ooi dalam kenyataan di sini, semalam.

Bagaimanapun, IDC berkata, saluran runcit masih terdedah kepada cabaran berikutan sentimen pasaran yang lemah disebabkan oleh pelbagai faktor makroekonomi di Malaysia.

“Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan, penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan beberapa kebimbangan politik antara cabaran yang dihadapi perniagaan pada separuh pertama 2015,” katanya.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:31 AM