Brazil - Sao Paulo: Nico Rosberg memberi cabaran sengit terhadap rakan sepasukan Mercedes yang juga pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton selepas mencatat masa sepusingan terpantas pada sesi latihan menjelang Grand Prix Brazil, semalam.

Namun malang sekali apabila kereta Ferrari dipandu Fernando Alonso mengalami kebakaran.

Pemandu Jerman itu memulakan saingan dengan mencatat masa sepusingan terbaik satu minit 12.764 saat pada sebelah pagi di sirkit Interlagos diikuti catatan 1:12.123s sebelah petang.

Hamilton, pemenang lima grand prix terakhir dan mencari kemenangan ke-11 daripada 18 perlumbaan musim ini, mengikuti rapat di tempat kedua pada kedua-dua sesi yang dibayangi oleh berita pasukan Marussia yang tidak lagi wujud dan diserapkan ke dalam pentadbiran.

Rosberg terdesak memerlukan kemenangan, sekalipun kejuaraan pemandu masih belum dapat ditentukan sebelum perlumbaan di Abu Dhabi hujung bulan ini.

Mata berganda ditawarkan selepas Hamilton memiliki kelebihan 24 mata sebagai pendahulu kejuaraan.

“Ia adalah hari yang bagus dan kami kembali pantas semula di sirkit ini,” kata Rosberg.

“Trek ini mempunyai permukaan baru membuatkannya sedikit mencabar. Ia begitu lancar dan tidak beralun seperti sebelum ini yang menyebabkan tayar cepat haus.

“Keadaan itu sedikit membimbangkan, tetapi kami menjangkakan suhu lebih sejuk pada perlumbaan hujung minggu ini.”

Hamilton berkata, dia tidak mampu mencatat masa terbaik sepusingan, tetapi tidak berasa bimbang.

“Ia berbeza setiap kali kami datang ke sini dan anda tidak tahu bagaimana keadaan cuaca. Apapun, perkara itu menjadikan perlumbaan ini lebih menarik,” kata pemandu Britain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:02 AM