LAND Rover Discovery Sport.
LAND Rover Discovery Sport.
Oleh Erywan Norshal


Sejak 1948 hingga kini, pengeluar kenderaan utiliti sukan (SUV) premium menerusi Land Rover masih mengekalkan intipati utamanya dalam mementingkan aspek ketangkasan pengendalian yang tiada tandingan.

Setiap kenderaan direka mesti menyediakan keupayaan ‘off-road’ terbaik, pemanduan dinamik dengan dilengkapi inovasi keselamatan di samping menggunakan bahan asas lebih ringan serta kukuh.

Semua ciri itu masih lagi ada pada model terbaru menerusi Land Rover Discovery Sport selaku SUV kompak premium yang dilancarkan oleh Jaguar Land Rover (M) Sdn Bhd, baru-baru ini.

Jentera berkenaan dibangunkan di Land Rover United Kingdom dan dikeluarkan di kilang pemasangan di Halewood, Liverpool yang pernah menerima anugerah sebelum ini.

SUV yang direka tempat duduk 5+2 itu tampil dengan rekaan menonjol dan unik dalam segmennya seolah-olah ia kelihatan seperti Range Rover Evoque. Malah reka bentuk itu memberi kelebihan dalam daya penglihatan yang terbaik dalam kelasnya, selain menawarkan ruangan dalaman lebih luas dengan kapasiti pengangkutan sehingga 1,698 liter.

Bagi memenuhi tugas di laluan lasak, Land Rover Discovery Sport lebih tinggi dengan jarak 0.212 meter (m) antara badan kenderaan dengan tanah, selain sudut pendekatan, pelepasan dan ‘breakover’ masing-masing pada 25, 31 dan 21 darjah.

Ini bermakna bahagian depan, tengah dan belakang SUV ini berupaya memanjat, melepasi dan menuruni laluan ekstrem dalam kelajuan rendah.

Ia turut berkeupayaan meredah air sedalam 0.6 m serta pemandu boleh memilih Sistem Terrain Response dengan empat pilihan bergantung pada permukaan jalan.

Bagi pasaran tempatan, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0L Si4 Petrol dan 2.2L SD4 Diesel yang mana kedua-duanya dilengkapi transmisi automatik sembilan kelajuan.

Model SUV kompak premium itu ditawarkan pelbagai teknologi inovatif tetapi ia bergantung pada pakej yang pelanggan mahukan, Bagi pakej Black Design Pack, ia merangkumi pelbagai komponen dalam warna hitam termasuk jeriji, cermin sisi, alur udara bahagian dapra, perkataan Discovery atas bonet, huruf pada pintu belakang serta pilihan rim aloi bersaiz 19 inci atau 20 inci.

Land Rover Discovery Sport dibangunkan dengan ciri keselamatan pasif dan aktif terkini yang menjaminkan keselamatan pemandu serta penumpangnya.

Buat masa ini, hanya varian Si4 Petrol dijual bermula RM399,000 tidak termasuk cukai jalan tetapi harga SD4 Diesel akan diumumkan kelak

Ia juga didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 300,000 kilometer (km), penyelenggaraan berjadual percuma untuk lima tahun atau 80,000 km serta bantuan kecemasan jalanan dalam tempoh tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:00 AM