MERCEDES-BENZ CLC.
MERCEDES-BENZ CLC.
MERCEDES-BENZ GLE.
MERCEDES-BENZ GLE.
MERCEDES-BENZ GLE Coupe.
MERCEDES-BENZ GLE Coupe.
Oleh Erywan Norshal


Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bertindak lebih agresif dalam strategi pasarannya dengan memperkenalkan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium baharu.

Kehadiran SUV itu juga melengkapkan lagi portfolio MBM dalam menyajikan pelbagai segmen kenderaan di negara ini, diikuti kompak, sedan dan kereta impian.

Tiga model diperkenalkan itu membabitkan GLC, GLE dan GLE Coupe yang dirasakan mampu merealisasikan nama jenama berkenaan sebagai pendahulu dalam segmen mewah di Malaysia.

Mercedes-Benz GLC

SUV saiz sederhana premium itu bersedia memenuhi aktiviti aktif pelanggan di Malaysia apabila dihiasi dengan rekaan badan AMG yang juga dipadankan rim aloi AMG 20 inci untuk tampak sporty.

Biarpun direka SUV, suspensinya ditala secara sport untuk pemanduan lebih menyeronokkan tanpa mengorbankan keselesaan.

Kelincahan pemanduan itu dipertingkatkan lagi dengan pacuan empat roda 4Matic yang digabungkan transmisi sembilan kelajuan automatik 9G-Tronic dan pada masa sama, juga menawarkan tahap kecekapan bahan api, keselesaan serta dinamik.

Ia ditawarkan satu varian sahaja iaitu GLC 250 4Matic yang menggunakan enjin bersesaran 1,991cc. Jentera itu menyalurkan kuasa maksimum 211hp dengan tork setinggi 350Nm dan dikatakan berdaya dipandu sehingga 250 kilometer sejam (km/j).

Jentera itu dijual pada RM328,888 atas jalan tidak termasuk insurans, juga dilengkapi sistem audio Burmester yang dikelilingi 13 pembesar suara berkualiti dengan bunyi tiga dimensi.

Mercedes-Benz GLE

SUV mewah bersaiz besar pula ditawarkan dengan dua varian menerusi GLE 250 vMatic dan GLE 400 4Matic.

Apa yang membezakan kedua-dua model ini ialah rangkaian kuasa yang mana GLE 250 d 4Matic menggunakan enjin bercas turbo diesel, manakala V6 turbo berkembar bagi GLE 400 4Matic.

GLE 250 d 4Matic membekalkan kuasa 204hp dengan tork 500 Nm dan tahap penggunaan bahan api lebih menjimatkan dengan bacaan purata 5.7 sehingga 5.9 liter bagi setiap 100 km.

Enjin V6 turbo berkembar bagi GLE 400 4Matic menghasilkan 333hp dengan tork 480 tetapi tahap penggunaan bahan api tinggi dengan purata antara 8.8 hingga 9.2 liter setiap 100 km.

Bagaimanapun, kedua-dua varian itu dilengkapi kawalan sistem pengendalian inovatif terkini iaitu Pilihan Dinamik serta memberi kestabilan pemanduan dengan padanan suspensi udara Airmatic.

Ia juga dilengkapi pakej kamera 360 darjah dan bantuan parkir aktif dengan ‘Parktronic’ bagi memudahkan penglihatan di kawasan tempat letak kenderaan.

GLE 250 d 4Matic dan GLE 400 4Matic masing-masing berharga RM486,888 serta RM568,888 atas jalan tanpa insurans.

Mercedes-Benz GLE Coupe

Model itu dikategorikan sport utiliti coupe yang hadir rekaan menarik dengan penampilan tampak garang.

Biarpun kategori baharu, ia tetap mengekalkan ciri SUV sejati selepas memiliki bentuk berotot dan ruang roda yang besar.

Ia hadir dengan dua varian berbeza membabitkan GLE 400 4Matic Coupe dan GLE 450 AMG 4Matic Coupe.

Kedua-duanya berkongsi rangkaian kuasa sama iaitu enjin V6 biturbo bersesaran 2,996cc dengan padanan transmisi sembilan kelajuan automatik 9G-Tronic.

Bagaimanapun, GLE 450 AMG 4Matic Coupe menyalurkan 367hp dengan kuasa yang lebih 34hp berbanding GLE 400 4Matic Coupe.

Penampilan GLE 450 AMG 4Matic Coupe juga lebih menyerlah dengan rekaan AMG membabitkan sistem ekzos dan rim aloi lima bilah dimensi 22 inci.

GLE 450 AMG 4Matic Coupe dijual pada harga RM699,888, manakala RM630,888 bagi GLE 400 4Matic Coupe atas jalan tidak termasuk insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:01 AM