Mangsa yang selamat diberi rawatan dan mayat yang ditemui dibawa menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (gambar kecil).
Mangsa yang selamat diberi rawatan dan mayat yang ditemui dibawa menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (gambar kecil).
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Amir Abd Hamid

Hutan Melintang : Dua lagi mayat mangsa bot karam dan seorang yang terselamat, ketiga-tiganya lelaki, ditemui hari ini dan dibawa oleh pasukan keselamatan ke Jeti Ladang Sungai Bernam, di sini pada 3.10 petang tadi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, ketiga-tiga mangsa itu ditemui kira-kira 5 batu nautika oleh pasukan mencari dan menyelamat di perairan Sabak Bernam.

“Mangsa terkini yang terselamat adalah seorang lelaki yang ditemui nelayan kira-kira 12 tengah hari tadi dalam keadaan terapung dan keletihan.

Mangsa dipindahkan dari bot nelayan ke bot KM Malawali untuk diberikan rawatan kecemasan. Dua mayat turut dinaikkan ke darat sebentar tadi,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini 37 mangsa sudah ditemui sejak hari pertama operasi mencari dan menyelamat semalam.

“Mangsa yang selamat 20 orang, manakala 17 lagi terkorban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 4:31 PM