SONA Rai di kedai Bath & Body Works di Mid Valley.
SONA Rai di kedai Bath & Body Works di Mid Valley.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Bath & Body Works, salah satu daripada peruncit khusus produk kecantikan badan, tangan dan rumah terkemuka di dunia kini menembusi pasaran tempatan sejak enam bulan yang lalu.

Pengurus Besarnya, Sona Rai Aggarwal berkata, sejak memasuki rantau Timur Tengah, Malaysia adalah negara terbesar kerana mempunyai lapan cawangan di seluruh negara, berbanding negara-negara lain.

“Sehingga kini, kami mempunyai 18 cawangan di rantau ini termasuk dua di Singapura, satu di Macau dan masing-masing empat di Thailand dan Indonesia.

“Sejak melancarkan cawangan pertama di negara ini, jualan syarikat menunjukkan pertumbuhan positif dan kami yakin pembukaan terbaru di Mid Valley mampu menyumbang dengan jumlah lebih ketara,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Sona berkata, bagi usaha membangunkan sebuah unit kedai, kumpulannya menganggarkan pelaburan antara RM11 juta hingga RM23 juta, bergantung kepada saiz keluasan.

Menurutnya, untuk mengukuhkan pasaran tempatan, syarikatnya akan membuka kira-kira empat lagi cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, selain di KLCC.

Bath & Body Works bukan sahaja menawarkan produk kecantikan dan kesihatan untuk perempuan, malah bagi kaum lelaki seperti wangian, sabun mandi dan tangan, losyen, lilin dan banyak lagi.

“Di sini, kebanyakan produk diinspirasikan oleh sumber alam seperti bungaan dan buah-buahan supaya dapat memberikan kesegaran yang sempurna kepada penggunanya,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan semua jualan mendapat sambutan baik dan menggalakkan, syarikat sentiasa mengeluarkan produk baru setiap tiga hingga empat minggu agar pelanggan tidak jemu selain dapat memberikan kelainan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 6:13 AM