AMIZA menunjukkan produk jenama  Motive Bath & Body Cares.
AMIZA menunjukkan produk jenama Motive Bath & Body Cares.

MKI Dream Legacy merancang untuk menembusi pasaran Asia Tenggara bermula tahun depan menerusi produk penjagaan badan di bawah jenama Motive Bath & Body Cares.

Pengasas Bersamanya, Amiza Mat Rozekhi berkata, sebagai permulaan syarikat akan memasuki pasaran Indonesia, Brunei dan Vietnam selain memberi tumpuan pada pasaran Malaysia.

Katanya, tahun ini adalah permulaan terbaik untuk syarikat mengukuhkan pasaran termasuk memantapkan pasukan jualan dan pemasarannya.

"Sejak berada di pasaran Malaysia dua tahun lalu, Motive Bath & Body Cares semakin mendapat permintaan dan sudah terjual lebih 500 set setiap bulan.

"Sebelum ini kami lebih memfokus kepada pengenalan jenama serta menggunakan platform online untuk menjual semua produk kami.

"Sekarang kami turut mempunyai sistem ejen iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Negeri Sembilan, Kuantan dan Singapura," katanya kepada Bisnes Metro.

Amiza berkata, sebagai produk mandian pertama tempatan yang didatangkan dengan wangian tersendiri, Motive Bath & Body Cares mudah dijual dan sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan.

Menurutnya, produk ini 100 peratus keluaran Muslim dan memberi wangian kekal di badan sehingga 12 jam.

"Kami menyasarkan untuk menjual 15,000 set produk (gel mandian dan skrub) menjelang akhir tahun ini serta mengeluarkan produk baharu seperti semburan badan, penjagaan rambut dan skrub bibir.

"Selain itu, kami mengalu-alukan mereka yang berminat menjadi ejen dengan modal bermula RM300 dan kami akan memberi bimbingan komprehensif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 7:20 AM