NUR Safiyyah bersama produk penjagaan dan kecantikan Purebysafiyyah.
NUR Safiyyah bersama produk penjagaan dan kecantikan Purebysafiyyah.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Puresafiyyah Osman Enterprise, syarikat yang mengeluarkan produk penjagaan dan kecantikan untuk tubuh badan dengan jenama Purebysafiyyah berhasrat untuk meletakkan jenamanya setanding jenama antarabangsa lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengasas merangkap Ketua Pemasarannya, Nur Safiyyah Osman berkata, untuk ke arah itu, pihaknya melaburkan RM10,000 untuk membeli mesin berkaitan bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran produk bagi menampung permintaan yang kian meningkat.

“Bermula September 2015, saya dan suami hanya menggunakan kekuatan diri untuk membancuh dan membungkus tiga jenis produk keluaran syarikat.

“Walaupun masih menggunakan tenaga manusia untuk membancuh adunan, tetapi dengan bantuan mesin yang ada, kini kami mampu menghasilkan lebih daripada 200 produk sehari berbanding antara 10 hingga 20 unit saja dalam tempoh sama pada awal penubuhan dahulu.

“Dengan penambahan jumlah pengeluaran bersandarkan kepada peralatan yang ada disokong kekuatan enam pekerja, saya menyasar untuk mencatatkan jualan produk Purebysafiyyah RM150,000 setiap bulan pada tahun ini,” katanya ketika ditemu bual, di sini.

Menurutnya, syarikat hanya mampu mencatatkan jualan sebanyak RM50,000 dalam tempoh sebulan ketika awal kemunculan dan angka itu dilihat semakin meningkat bermula November lalu.

Purebysafiyyah adalah jenama untuk penjagaan dan kecantikan merangkumi produk untuk badan iaitu Organic Detox Body Scrub dan Foot Soak Chamomile-Lavender, muka dan kulit seperti Organic Raspberry Face Wash, Esa Golden Jojoba Face Oil dan Kick-It Acne Stick, My Organic Sweet Orange Shampoo dan Organic Argan Oil Powerful Hair Mist untuk rambut, Lip Scrub, Lipbalm dan Lip Tint khusus untuk bibir serta Under Eye Serum untuk penjagaan mata.

Terbaru, Purebysafiyyah tampil dengan produk baru khusus untuk bayi meliputi HoneyChamo Baby Oil, Calendula Baby Balm dan Baby Body Wash & Shampoo menjadikan jumlah keseluruhan produk sebanyak 18 jenis serta merancang untuk memberi fokus kepada pemasaran dan pengukuhan produk bayi buat masa ini.

Nur Safiyyah berkata, meskipun kesan penggunaan produknya akan mengambil sedikit masa, namun pengguna diyakinkan bakal kelihatan lebih anggun dan segar tanpa kesan sampingan yang negatif kerana tidak mengandungi sebarang bahan kimia dan pewarna tiruan, apatah lagi produk Purebysafiyyah diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi yang diimport dari United Kingdom.

Pada masa sama, syarikatnya juga berhasrat untuk menambah jumlah ejen seramai 200 orang lagi selain stokis antara 50 hingga 60 orang sebelum akhir tahun ini.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan mana-mana produk Purebysafiyyah yang dijual pada harga bermula RM15, anda boleh layari Facebook (Purebysafiyyahosman) selain Instagram (@purebysafiyyahosman).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 8:28 AM