Oleh Mohd Sabran Md Sani

[email protected].

Johor Bahru: Seramai 13 pasangan membabitkan warga tempatan dan asing ditahan dalam Operasi Ambang Merdeka oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal pagi tadi.

Operasi tiga jam bermula 12 tengah malam itu, menyerbu tiga lokasi panas di bandar ini terutama membabitkan hotel bajet di Taman Ungku Tun Aminah, Taman Daya dan Taman Johor Jaya.

Penolong Pengarah JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, serbuan bersama 20 penguatkuasa dari ibu pejabat dan daerah JAINJ, bagi mengekang aktiviti tidak bermoral pasangan Islam di hotel bajet.

"Operasi terbabit bertujuan untuk memastikan sambutan Hari Kemerdekaan tidak dicemari dengan aktiviti tidak bermoral.

"Dalam operasi itu 13 pasangan berusia 20 hingga 40 tahun ditahan di bilik hotel bajet selepas disyaki berkhalwat tanpa sebarang ikatan sah," katanya.

Beliau berkata, semua mereka ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.

Enakmen itu memperuntukkan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua suspek termasuk pasangan suami dan isteri orang di bawa ke balai sebelum dibawa ke JAINJ untuk tindakan seterusnya bagi proses jaminan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 4:33 PM