Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

[email protected]

 

Johor Bahru: Seramai 72 individu ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Mawar Merah yang dijalankan sempena Hari Kekasih di seluruh negeri bermula petang semalam hingga awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan di hotel murah berjaya menahan pasangan yang semuanya berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun termasuk empat warga asing.

Penolong Pengarah Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, semua yang ditahan itu diambil tindakan mengikut Seksyen 27(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan Seksyen 29 enakmen sama kerana kesalahan berkhalwat serta berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

"Kita turut menyiasat empat warga asing yang dijumpai bersama pasangan yang beragama Islam dan akan menyerahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

"Manakala, dua lagi pasangan diberi notis saman hadir kerana hanya disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 1:28 PM