Beijing: Mahkamah di Xinjiang, wilayah barat jauh China, semalam menjatuhkan hukuman penjara ke atas 45 orang atas tuduhan berkait dengan keganasan.

Mereka termasuk sekurang-kurangnya lapan orang etnik Uighur beragama Islam yang dipenjara selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba meninggalkan China secara haram, lapor agensi berita Xinhua.

Beijing baru-baru ini diselar masyarakat antarbangsa selepas ia mempengaruhi Bangkok supaya menyerahkan 100 etnik Uighur yang mencari perlindungan di Thailand.

Kumpulan berkenaan dirakam dengan muka mereka diselubung, tangan digari dan dikawal ketat oleh polis ketika dibawa pulang ke Beijing.

Pihak berkuasa China mendakwa kononnya kumpulan itu meninggalkan China untuk menyertai jihad.

Aktivis Uighur berkata, mereka meninggalkan China kerana mahu melarikan diri daripada penindasan.

Daripada lapan etnik Uighur yang dihukum, lima dipenjarakan 10 tahun selepas mereka ditangkap oleh polis Tajikistan berhampiran sempadan dengan Afghanistan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 7:42 AM