MINORITI Islam Uighur dipantau penguat kuasa China. FOTO/AGENSI
MINORITI Islam Uighur dipantau penguat kuasa China. FOTO/AGENSI
Reuters

BEIJING: Ketua keselamatan domestik China menggesa ‘pembaharuan menerusi pendidikan’ bagi banduan di wilayah Xinjiang, lapor media hari ini, di tengah kritikan antarabangsa berhubung operasi keselamatan.

Beijing berhadapan kecaman aktivis, sarjana, kerajaan asing dan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung penahanan beramai-ramai dan pemantauan ketat ke atas kebanyakan minoriti Islam Uighur dan kumpulan Islam lain di Xinjiang.

China berkata, Xinjiang berhadapan ancaman serius daripada militan Islam dan pemisah dan menolak semua tuduhan ia memberi layanan buruk kepada tahanan.

Ratusan terbunuh di Xinjiang sejak beberapa tahun ini dalam ketegangan antara Uighur dan majoriti etnik Han.

Pegawai berkata, mereka memasukkan sebahagian tahanan ke dalam kursus ‘vokasional’ untuk mengelakkan penularan agenda militan.

Selepas pemeriksaan selama tiga hari di wilayah itu, Menteri Keselamatan Awam, Guo Shengkun, berkata kestabilan sosial di Xinjiang diperoleh dengan sukar dan perlu dihargai dan disatukan secara berterusan, lapor akhbar People’s Daily.

“Kita perlu mengamalkan pendidikan politik secara menyeluruh, kaunseling psikologi dan latihan vokasional, mengukuhkan pembaharuan menerusi kerja pendidikan bagi tahanan, dan berusaha membuatkan mereka membula lembaran baru,” kata Guo.

Perancis dan Jerman, Rabu lalu menyertai desakan supaya PBB mengenakan tekanan ke atas China untuk menutup ‘kem pendidikan semula’, lokasi sejuta etnik Uighur dan penduduk Islam lain ditahan untuk indoktrin politik.

Kempen keselamatan juga membabitkan peningkatan dalam penangkapan dan penjara, pemeriksaan polis dan campur tangan dalam amalan agama penduduk Islam di wilayah itu, menurut Human Rights Watch.

Polis Xinjiang perlu berusaha lebih untuk mempromosikan perkhidmatan pengurusan di tahap bawah dalam usaha memastikan penduduk berasa lebih selamat dan perkhidmatan dekat dengan mereka, kata Guo.

Pegawai perlu terus melawat rumah keluarga minoriti dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai budaya China, kata Parti Komunis China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 4:10 PM