‘EPICUREAN MARKET’ acara tahunan anjuran Marina Bay Sands yang kian mendapat sambutan.
‘EPICUREAN MARKET’ acara tahunan anjuran Marina Bay Sands yang kian mendapat sambutan.
THE SHOPPES menawarkan 270 kedai daripada  pelbagai jenama.
THE SHOPPES menawarkan 270 kedai daripada pelbagai jenama.
HIDANGAN pencuci mulut dari Restoran Bread Street Kitchen milik cef terkemuka Gordon Ramsay.
HIDANGAN pencuci mulut dari Restoran Bread Street Kitchen milik cef terkemuka Gordon Ramsay.
PEMANDANGAN malam dari tingkat 57 .
PEMANDANGAN malam dari tingkat 57 .
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman

Bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke Kota Singa, pasti terpesona dengan suasana dan keindahan landskapnya.

Antara tarikan unik yang menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara adalah binaan seakan-akan sampan terapung di Marina Bay.

Pertama kali berkunjung ke Singapura, penulis tidak menjangka untuk menghabiskan tiga hari hanya di bangunan serba canggih itu yang diberi nama Hotel Marina Bay Sands (MBS).

Namun, tiga hari yang diluangkan di hotel berkenaan tidak terasa kerana setiap masa diisi aktiviti menarik dan membuai perasaan.

Pengalaman tiga hari yang bermakna itu bermula dengan perjalanan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang mengambil masa 45 minit.

Sebaik pesawat mendarat di Lapangan Terbang Changi kira-kira jam 12 tengah hari, penulis dan rakan media lain dibawa ke MBS dan perjalanan hanya mengambil masa 15 minit.

MBS terdiri daripada tiga menara dan platform yang tergantung seakan-akan sampan itu adalah tingkat tertinggi iaitu tingkat 57 tempat terletaknya tarikan utama MBS iaitu ‘Infinity Pool’.

Penulis diberi berpeluang bermalam di tingkat 49 menara 3 MBS dan menikmati pemandangan bandar yang mendamaikan.

Semua rakan media dibawa makan tengah hari di Restoran Bread Street Kitchen, sebuah restoran milik cef terkemuka Gordon Ramsay di The Shoppes MBS.

The Shoppes ialah pusat beli-belah milik MBS bersebelahan hotel itu dan kesemua restoran dan kedai boleh diakses dengan hanya berjalan kaki.

Terdapat lebih 270 kedai yang menawarkan pelbagai jenis barangan dan jenama terkemuka bagi memenuhi kehendak pelancong dari setiap pelosok negara yang berkunjung ke MBS.

Kami turut dibawa melawat di sekitar The Shoppes yang juga peneraju pusat beli-belah mewah di Asia dan antara kedai yang ada di situ adalah Christian Louboutin, UOMO Collezioni dan Baby Dior.

Pemandangan malam kota Singapura dari tingkat 57 (tingkat paling tinggi) sungguh menawan apatah lagi dengan cahaya lampu yang berwarna-warni.

Pengalaman hari kedua lebih teruja dan menjadi kemuncak pada lawatan kami ialah pelancaran pembukaan ‘Epicurean Market’ iaitu pesta makanan anjuran MBS yang kini memasuki tahun ketiga.

Pengembaraan makananan dan pengalaman seni kulinari diperkembangkan dengan slot ‘masterclass’ yang dikelolakan oleh Cef David Myers dan Cef Nancy Silverton.

Program selama tiga hari itu mengumpulkan cef selebriti yang mempunyai restoran di MBS seperti Cef David Myers, Cef Tetsuya Wakuda, Cef Justin Quek, Cef Nancy Silverton dan Cef David Thompson.

Menurut Timbalan Presiden Bahagian Makanan dan Minuman MBS Tamir Shanel, program yang mendapat maklum balas yang baik dan membuka peluang kepada orang ramai untuk merasa hidangan dari pelbagai negara.

“Ia adalah satu pengembaraan kulinari apabila orang ramai boleh merasa setiap hasil tangan cef selebriti yang jarang dapat mereka rasai kerana perlu ke setiap restoran mereka yang berbeza-beza,” katanya.

Hari ketiga di MBS, kami dibawa melawat Muzium ArtScience yang terletak berdekatan dengan The Shoppes.

Penulis sempat menerokai dua pameran menarik iaitu ‘The Deep’ dan pameran DreamWorksAnimation.

Pameran ‘The Deep’ memberi pengetahuan orang ramai mengenai hidupan di dasar laut manakala pameran DreamWorksAnimation lebih berwarna-warni dan ceria dengan memaparkan proses pembikinan kartun seperti Shrek, Kungfu Panda dan How To Train Your Dragon.

Di pameran itu juga terdapat ‘Drawing Room’ apabila pengunjung boleh mencuba peranti sebenar yang digunakan pelukis untuk membuat lakaran awal kartun-kartun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:24 AM