MOHAMAD (kiri) merasmikan gimik perasmian pra pelancaran Majlis Bandaraya Seremban di Dataran Nilai, baru-baru ini.
MOHAMAD (kiri) merasmikan gimik perasmian pra pelancaran Majlis Bandaraya Seremban di Dataran Nilai, baru-baru ini.
Raja Noraina Raja Rahim


PENGISYTIHARAN Seremban sebagai bandar raya membuktikan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mampu mengurus tadbir negeri dengan baik dan berkesan.

Kepesatan pembangunan di ibu negeri itu sehingga layak diiktiraf sebagai bandar raya jelas menggambarkan kerajaan melaksanakan segala perancangan yang dijanjikan kepada rakyat.

Daripada 45 aku janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kerajaan negeri berjaya melaksanakan 44 daripadanya dalam tempoh lima tahun dengan satu sahaja digugurkan kerana kajian semula mendapati ia bersifat kehendak dan bukan keperluan.

Turut digariskan dalam aku janji itu adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga bandar dengan mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya, menaik taraf beberapa majlis daerah kepada majlis perbandaran dan menambah bilangan parkir bagi keselesaan warga Seremban.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan pada tahap tinggi termasuk aktiviti kutipan hasil, kelulusan pemajuan pembangunan, penguatkuasaan dan mempunyai struktur organisasi yang mantap dalam melaksanakan tugas dengan cekap.

Katanya, Seremban turut mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, utiliti awam yang mencukupi termasuk taman awam yang mesra pengguna terutamanya kepada orang kurang upaya (OKU) termasuk kemudahan pengangkutan awam, sistem pengurusan lalu lintas dan rangkaian jalan raya yang cekap serta perkhidmatan teknologi.

Tawar status bandar raya

Berikutan itu katanya, Kabinet menawarkan status bandar raya kepada Seremban pada 2013, tetapi beliau memohon penangguhan kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara termasuk berkaitan kemudahan awam.

“Bagaimanapun, selepas melihat perkhidmatan yang ditawarkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) amat baik, ia membolehkan kedua-dua entiti itu digabungkan menjadi Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Majlis pra pelancaran MBS iaitu simbolik penggabungan MPS dan MPN itu kemudian dilaksanakan di Dataran Nilai, pada 20 April lalu,” katanya.

Kata Mohamad, penggabungan kedua-dua entiti itu dibuat lebih awal bagi melancarkan proses menubuhkan MBS.

“MBS akan dimasyhurkan sebagai bandar raya pada Januari 2019 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-71.

“MBS mempunyai masa mencukupi untuk memperkemaskan urusan pentadbiran termasuk penyusunan semula kakitangan MPS dan MPN sebelum pengisytiharan rasmi dibuat.

“Lapan bulan tempoh yang cukup baik bagi mereka untuk membuat penyelarasan dan yang paling penting sekali ialah bagi mereka menggabungkan dua majlis (MPN dan MPS) ini menjadi satu. Ketika ini MPS beroperasi di Seremban manakala MPN di Nilai serta beberapa kawasan di Seremban,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata Majlis Daerah Jempol juga akan dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Jempol dalam masa terdekat.

Katanya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan kebenaran untuk menaik taraf status bandar berkenaan.

"Jempol menepati ciri dan ketetapan untuk dinaik taraf antaranya penduduk mesti melebihi 150,000 orang dan pelbagai kriteria lain dipenuhi,” katanya.

Urus tadbir cemerlang

Beliau dalam pada itu, mengulangi jaminan pihaknya tidak akan menaikkan sebarang cukai termasuk cukai taksiran pemilikan premis atau kediaman individu berikutan perubahan status kepada MBS.

“Masyarakat di negeri ini tidak perlu khuatir kerana kadar cukai pintu dan tanah persendirian akan terus kekal sepanjang pemerintahan di bawah Kerajaan BN,” katanya.

Katanya, kerajaan berjaya mentadbir negeri ini dengan cemerlang menerusi mandat yang diberikan oleh rakyat berteraskan falsafah Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat.

“Rakyat sendiri boleh menilai aku janji kerajaan negeri yang mengutamakan rakyat dari aspek pendidikan, perumahan dan keperluan pembelaan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 8:28 AM