AYAM bersalut madu sedia dihidang.
AYAM bersalut madu sedia dihidang.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Wanita baru lepas bersalin kebiasaannya akan berusaha menjaga kesihatan diri dengan mematuhi amalan semasa dalam pantang seperti yang disarankan oleh budaya kaum masing-masing.

Kebanyakan budaya mengakui kemungkinan berlakunya kerosakan kepada tubuh wanita akibat proses mengandung dan bersalin yang perlu dipulihkan, dijaga dan dicegah supaya badan dapat kembali segar seperti sebelum ini.

Ini termasuk proses pemulihan akibat kehilangan darah semasa bersalin, pengecutan rahim, keseimbangan hormon, ketegangan urat saraf dan kehilangan tenaga semasa proses bersalin.

Tempoh berpantang dianggap sebagai masa bagi ibu lepas bersalin untuk merawat, menyuci dan memulihkan tubuh selepas bersalin.

Pemakanan yang baik adalah kunci utama untuk membolehkan wanita terus kekal sihat selepas bersalin. Rehat yang cukup juga amat penting untuk proses pemulihan.

Menurut kaunselor laktasi Siti Asma Moin, wanita selepas bersalin perlu mengamalkan diet seimbang untuk memastikan tubuh badan mendapat nutrien yang diperlukan.

“Bahagian isi daging ayam dapat membantu mengawal berat badan selepas berpantang. Selain itu, amalan pemakanan ikan yang mengandungi protein tinggi membantu mempengaruhi sistem tubuh yang masih lemah untuk menambah tenaga.

“Bukan itu saja, malah daging kambing juga baik untuk membina sel badan dan tulang yang kuat selepas bersalin. Sayuran hijau tidak boleh dielakkan kerana ia membantu merawat luka dalam perut ketika proses bersalin,” katanya.

Ujarnya, semasa berpantang ada sesetengah makanan yang dilarang diambil oleh ibu yang baru bersalin. Namun, makanan berkenaan perlu diganti dengan sumber lain daripada kumpulan makanan yang sama bagi memastikan badan memperoleh zat diperlukan.

Bagi anda yang mahu mengekalkan kesihatan badan dengan pengambilan hidangan sihat ketika berpantang, ikuti resipi mudah ayam bersalut madu yang dikongsi Siti Asma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 12:03 PM