Hasnul Zulkarnain. FOTO Muhaizan Yahya
Hasnul Zulkarnain. FOTO Muhaizan Yahya
Azizan Hashim


IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), akan merayu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memohon pelepasan lima pemainnya yang mengikuti kem latihan Harimau Malaya, menjelang aksi persahabatan berdepan Sri Lanka dan Repbulik Kyrgyz pada 12 dan 16 Oktober ini.

Tindakan itu dibuat kerana bimbang masalah kecederaan yang mungkin menimpa semua pemain berkenaan, seperti yang berlaku kepada kapten skuad The Bos Gaurus itu, Mohd Nasir Basharuddin ketika beraksi menentang Kemboja baru-baru ini.

Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, menegaskan Perak mempunyai misi penting iaitu separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Perak pada Ahad ini dan perlawanan timbal balik di Stadium Likas, Sabah pada 21 Oktober.

Lima pemain skuad Seladang - Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Kenny Pallraj dan Norhakim Hassan dipanggil menyertai senarai 24 pemain yang dipilih mengikuti latihan pusat skuad negara mulai 8 Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Hasnul Zulkarnain mengumumkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Iskandar Zulkarnain dilantik sebagai Bendahari baharu PAFA berkuat kuasa serta merta.

Beliau menggantikan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang akan mengambil alih pengurusan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

"Pelantikan ini berkuat kuasa serta merta," kata Hasnul Zulkarnain kepada pemberita di sini.

Zainol Fadzi yang juga Penasihat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, dilantik sebagai Bendahari selepas Kongres PAFA Julai lalu.

Pelantikan Zainol Fadzi itu sekaligus menamat teka-teki mengenai kedudukan PKNP FC dalam Liga M 2019. Sebelum ini kelab yang dibimbing oleh Abu Bakar Fadzim diuar-uarkan akan menjadi 'kelab pemangkin' kepada PAFA.

Berikutan itu, PKNP FC yang mengekalkan kedudukannya dalam saingan Liga Super tahun hadapan akan turun ke Liga Perdana. Bagaimanapun teka-teki itu terjawab apabila Ahmad Faizal memberi pengakuan untuk menjaga PKNP FC serta PAFA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 5:06 PM