Colombo: Bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse semalam menafikan anak lelakinya terbabit dalam kematian kontroversi seorang pemain ragbi kebangsaan.

Polis berkata, mayat bintang ragbi Wasim Thajudeen akan digali semula hari ini untuk ujian forensik selepas timbul dakwaan bahawa pihak berkuasa menyembunyikan fakta penting dalam siasatan ketika zaman pentadbirannya.

Media tempatan melaporkan Wasim mati akibat hubungan percintaan tiga segi membabitkan anak kedua Mahinda, Yoshita. Polis bagaimanapun mengklasifikasikannya sebagai nahas jalan raya.

“Saya terima siasatan ini dengan tangan terbuka kerana ia akan membantu keluarga kami membersihkan nama.

“Namun melihat keadaan dan masa siasatan ini dibuka semula seolah-olah menunjukkan kerajaan mahu menjadikannya isu politik,” katanya.

Mahinda bakal bertanding untuk parlimen bulan ini selepas hilang jawaan presiden pada Januari lalu.

Dia kini disiasat atas dakwaan menyalurkan berbilion dolar dana kerajaan sepanjang pemerintahan sembilan tahun.

Beberapa adik-beradik, keluarga dan sahabat juga berdepan pelbagai tuduhan rasuah yang rata-rata didakwa sekadar senjata politik.

Yoshitha dikatakan mengarahkan pembunuhan Wasim kerana berebutkan kekasih ketika kedua-dua lelaki itu pemain ragbi kebangsaan.

Jurucakap kerajaan Rajitha Senaratne minggu lalu memberitahu pemberita, tiga anggota keselamatan Mahinda dikenal pasti menculik serta membunuh Wasim.

Mayatnya yang rentung ditemui di tepi jalan di Colombo pada Mei 2012. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 7:33 AM