GUARDIOLA
GUARDIOLA
AFP

London: Jurulatih Bayern Munich Pep Guardiola mengakui beliau mengambil “risiko” apabila bersetuju menjadi jurulatih Manchester City bermula musim depan.

Guardiola, yang meninggalkan Bayern hujung musim ini, akan mengambil alih daripada pengendali Chile Manuel Pellegrini dengan kontrak tiga tahun yang dilaporkan bernilai lebih £15 juta (RM91 juta) setahun.

Sekalipun City masih bersaing memburu empat trofi, termasuk Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris, Pellegrini berkata, beliau sedar pemilik kelab dari Abu Dhabi sudah berunding bersama Guardiola dan menyokong pengumuman mengenai pelantikannya itu.

Kini Guardiola, 45, seorang daripada jurulatih paling berjaya dalam sejarah berkata, beliau sudah bersedia berdepan “satu cabaran baru.”

“Jika saya berusia 55 atau 60 tahun, saya akan kekal (di Bayern) hinggalah Karl-Heinz Rummenigge atau Matthias Sammer berkata, ‘Cukup,’” ujar Guardiola.

Namun beliau menegaskan tidak mahu menamatkan kariernya “tanpa meraih pengalaman di England.”

“Saya mahu merasai suasana, emosi,” jelasnya. “Saya sedar ia satu risiko, tapi itulah sebenarnya yang saya sukakan.”

Berita itu menenggelamkan terus sebarang pembelian pada hari terakhir jendela perpindahan pemain Januari yang berakhir awal pagi semalam.

City, yang dimiliki jutawan Sheikh Mansour Zayed al-Nahyan, mengeluarkan kenyataan mereka “memulakan dan memuktamadkan rundingan kontrak” bersama Guardiola baru-baru ini untuk menjadi jurulatih bermula musim 2016-17.

“Kontrak ini selama tiga tahun. Rundingan ini adalah sambungan daripada perbincangan yang bermula pada 2012,” menurut kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:18 AM