FALCAO
FALCAO

London: Juara Liga Perdana, Chelsea mengikat penyerang Colombia, Radamel Falcao secara pinjaman semusim dari AS Monaco awal pagi semalam dengan pilihan untuk menjadikan perpindahan itu kekal.

Pemain berusia 29 tahun itu kurang berjaya ketika beraksi secara pinjaman di Manchester United musim lalu apabila sekadar menjaringkan empat gol dalam 29 perlawanan.

“Saya amat gembira menyertai Chelsea dan tidak sabar menanti latihan dan membantu sasaran kami mengekalkan kejuaraan liga dan berjaya di Eropah,” kata Falcao.

Falcao, yang gagal menyumbat sebarang gol buat Colombia pada Copa America tahun ini apabila mereka layak ke suku akhir, sebelum ini bermain dengan River Plate, FC Porto dan Atletico Madrid.

Dia muncul antara penyerang paling digeruni di Eropah selepas memulakan kariernya sebagai pemain remaja di Colombia sebelum menyertai kelab gergasi Argentina, River pada 2001.

Lapan tahun kemudian, selepas memantapkan dirinya sebagai antara penyerang berbisa Amerika Selatan, Falcao menyertai Porto dan melakukan penampilan sulung Liga Juara-Juara menentang Chelsea. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:31 AM