Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Demi kebaikan bola sepak negara, Jawatankuasa Bertindak Khas diwujudkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih telus dalam membuat penilaian mengenai prestasi barisan kejurulatihan negara dan pasukan.

Pandangan itu disuarakan sendiri anggota jawatankuasa itu B Sathianathan yang mahu apa saja sentimen harus diketepikan, sebaliknya harus mendedahkan segala kepincangan yang berlaku bagi memperbaiki pasukan.

“Saya, Presiden Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dan sentimen untuk menutup kelemahan atau sengaja menghentam kawan-kawan (jurulatih) tidak ada.

“Kalau seseorang jurulatih itu silap, kita kena betulkan. Tugas kita adalah untuk memperbaiki keadaan sekarang dan membuat perancangan terbaik untuk pasukan selepas ini,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu kepada Arena Metro semalam.

Kedudukan beberapa jurulatih negara termasuk pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh, jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee, Razip Ismail (Harimau Muda B) bakal dikaji Jawatankuasa Bertindak Khas yang diterajui Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad.

Kebanyakan jurulatih tamat kontrak hujung tahun ini kecuali Dollah hujung tahun depan.

Selain Sathianathan, hanya Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz yang dilihat ‘orang luar’ manakala selebihnya adalah wakil FAM dalam jawatankuasa itu.

Mereka adalah Timbalan Presiden FAM dan pengurus skuad Bawah 23 tahun Datuk Seri Afandi Hamzah, Setiausaha Agung FAM dan pengurus skuad kebangsaan Datuk Hamidin Mohd Amin, Naib Presiden FAM Datuk Rozabil Abd Rahman dan Exco FAM Datuk Mohd Junid Mohd Noor.

Jelas Sathianathan, jawatankuasa itu bukanlah badan yang hanya mencari kesalahan jurulatih atau pemain semata-mata sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian atas kemerosotan prestasi pasukan.

Pencapaian skuad negara agak mengecewakan tahun ini apabila skuad kendalian Dollah seri 1-1 dengan Timor Leste dan dibelasah 0-6 oleh Palestin pada kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, skuad bawah 23 tahun bimbingan Kim Swee gagal ke separuh akhir Sukan SEA Singapura manakala Razip pula gagal membawa pasukan B-22 melepasi pusingan kelayakan AFC di laman sendiri Mac lalu.

“Jawatankuasa ini bukan mahu menghukum, tapi perlu mengumpul segala data bagi memperbaiki segala kelemahan dari aspek pengurusan, kejurulatihan dan pemain. Jika ini mampu dilakukan, ia akan banyak membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:39 AM