KONGRES Tahunan FAM ke-52 yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam.
KONGRES Tahunan FAM ke-52 yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam.
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan menafikan dakwaan beliau sudah menerima tawaran rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia Malaysia (FAM) selaku Pengarah Teknikal bagi menggantikan Fritz Schmid.

Menurutnya, jika benar itu yang menjadi keinginan badan induk bola sepak tanah air, beliau sedia mengadakan perbincangan kerana turut menerima tawaran beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).

“Bila sampai masanya kita akan bincang, saya cuma dengar daripada anda saja, saya tak dengar daripada (Setiausaha Agung FAM) Datuk Hamidin (Mohd Amin) atau Presiden.

“Memang satu penghormatan tapi saya sekarang tengah berbincang dengan pasukan lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kongres Tahunan FAM ke-52 semalam.

FAM melantik bekas pembantu jurulatih Austria, Schmid pada Mei 2014 dengan kontrak selama tiga tahun.

Dengan kontraknya bakal berakhir pertengahan tahun depan, FAM dikhabarkan tidak berminat menawarkan kontrak baru dan mula mencari calon tempatan.

Sathianathan, 58, pernah mengendalikan skuad Harimau Malaysia 2007-2009 sebelum membimbing Kelantan (2009-2010) dan ATM (2011-2015).

Bagi beliau, sudah tiba masanya untuknya kembali aktif dalam arena bola sepak tidak kira tugas sebagai jurulatih atau Pengarah Teknikal FAM.

“Semua sama, cuma pekerjaan itu berbeza. Jadi pengarah teknikal kena buat perancangan dan sebagainya serta bekerjasama dengan pihak sekretariat FAM manakala kejurulatihan pula berbeza kerana lebih tumpu kepada pasukan dan perlawanan,” kata bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 12:13 PM