JAWATAN jurulatih Harimau Malaya menarik beberapa calon hebat antaranya bekas pemain Piala Dunia Perancis, Desailly.
JAWATAN jurulatih Harimau Malaya menarik beberapa calon hebat antaranya bekas pemain Piala Dunia Perancis, Desailly.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keinginan bekas penolong jurulatih Manchester United (MU) Rene Meulensteen merebut jawatan pengendali skuad Harimau Malaya bakal memberi pilihan tambahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih Kebangsaan mencari calon paling sesuai bagi memikul tugas itu.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, minat ditunjukkan Meulensteen memang disambut baik kerana jurulatih dari Belanda itu diakui mempunyai pengalaman luas.

Sathianathan yang juga antara individu dalam jawatankuasa pemilihan itu bagaimanapun menegaskan, jurulatih itu tetap akan ditapis seperti mana calon lain.

“Saya kenal beliau (Meulensteen) ketika United berada di ibu negara di samping pernah berjumpa dengannya dalam pertemuan tidak rasmi atau seminar. 

"Beliau cukup dikenali di England dan pengalamannya selama beberapa tahun menjadi penolong jurulatih di United dan pengurus Fulham bakal meletakkannya antara calon hangat sekiranya benar beliau mahu memohon jawatan itu.

"Tapi kita (Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih) tetap akan menilai beliau berdasarkan rekod dan biodata. Lagipun di Eropah sistem jurulatih mereka cukup luas besar, kadang-kala ada sampai lima hingga enam jurulatih dalam sesebuah pasukan.

"Jadi kita tidak mahu 'tangkap muat' mana-mana jurulatih hanya berpandukan nama sebaliknya akan menilai dan mengkaji terlebih dulu sebelum membuat keputusan," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menerusi Arena Metro semalam, sumber ESPN mendedahkan Meulensteen meluahkan hasrat untuk mengemukakan permohonan bagi menggantikan tempat Dollah Salleh yang meletakkan jawatan pada 4 September lalu.

Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan untuk menjadi jurulatih negara dan ada yang sudah menghantar permohonan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), termasuk bekas pemenang juara Piala Dunia 1998 Marcel Desailly.

Selain Desailly, ada beberapa nama lain yang dikatakan sudah memohon, antaranya bekas jurulatih Kelantan dan Johor DT Bojan Hodak, bekas jurulatih Kelantan George Boateng dan bekas jurulatih kelab India Bengaluru FC, Ashley Westwood.

Ketika ini pasukan negara dikendalikan jurulatih Bawah-23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee yang bertindak sebagai pengendali sementara bagi mengharungi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 sehingga hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:18 AM