Pakar nahas udara tiba di pusat ujian Balma, Toulouse, Pencis untuk memulakan pemeriksaan komponen sayap Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion. - Foto  AFP
Pakar nahas udara tiba di pusat ujian Balma, Toulouse, Pencis untuk memulakan pemeriksaan komponen sayap Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion. - Foto AFP

Toulouse, Perancis: Pakar nahas udara antarabangsa mula memeriksa bahagian sayap Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion sebentar tadi, dengan harapan untuk menentukan kemungkinan ia datang dari pesawat MH370.

Pemeriksaan dijalankan dengan seliaan seorang hakim di pusat ujian penerbangan dikendalikan tentera Perancis di Balma, barat daya Toulouse, dengan kehadiran pasukan pegawai Malaysia yang mengetuai siasatan.

Pasukan dari Amerika Syarikat dan pengeluar Boeing juga berada di situ untuk memberi nasihat. Pemeriksaan dijangka berterusan sehingga Khamis tetapi pegawai Malaysia bersiap sedia di Kuala Lumpur jika ada sebarang keputusan boleh diumumkan segera.

Penyiasat akan cuba mengesahkan bahagian sayap itu dari pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 yang hilang serta mencari apa saja petunjuk yang ada mengenai kemalangan.

Pusat ujian Balma itu khusus menganalisis logam dan dilengkapi imbasan elektron mikroskop yang mampu melakukan 100,000 kali pembesaran. Ia telah digunakan untuk menganalisis serpihan pesawat Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:56 PM