Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman  meninggalkan mahkamah Paris selepas mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Perancis.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman meninggalkan mahkamah Paris selepas mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Perancis.

Kuala Lumpur: Pakar penerbangan di Perancis mula memeriksa serpihan sayap yang terdampar di Pulau Reunion untuk menentukan sama ada ia pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang, 8 Mac tahun lalu.

Penemuan serpihan yang disahkan komponen milik Boeing 777 dianalisis di kem tentera di Toulouse memberi harapan baru kepada keluarga yang terdesak untuk mendapatkan jawapan.

Analisis komponen sayap itu kini sedang dilakukan dengan kerjasama pakar dari Perancis, Malaysia dan Australia, Boeing serta wakil dari China.

Portal The Week melaporkan Australia, negara utama yang mengendalikan pencarian pesawat di Lautan Hindi meramalkan keputusan rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Malaysia dan Perancis mungkin membuat kenyataan rasmi mengenai serpihan sayap berkenaan dalam tempoh terdekat,” kata Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss.

Mengapa siasatan ambil masa begitu lama?

Siasatan penemuan serpihan sayap itu dikendalikan pihak berkuasa penerbangan di Perancis selepas serpihan itu ditemui di wilayah negara itu. Namun, siasatan turut membabitkan pakar penerbangan dari Malaysia. Serpihan sayap berkenaan tiba di kem tentera di Toulouse, pagi Sabtu lalu, tetapi pembabitan negara dan kumpulan berbeza menyebabkan proses agak rumit dan lambat.

Bagaimana penyiasat memulakan siasatan?

Bekas ketua agensi BEA, Perancis Jean-Paul Troadec yang turut menyiasat kemalangan penerbangan itu berkata, jenis cat yang digunakan pada sayap mungkin boleh memberi petunjuk penting.

“Setiap syarikat penerbangan menggunakan cat pesawat yang ada ciri-ciri tertentu. Jika cat yang digunakan pada pesawat itu juga digunakan pesawat MAS, ia lebih memudahkan penyiasatan,” katanya.

- Penyiasat akan melakukan beberapa ujian untuk mencuba dan menentukan dari mana serpihan sayap itu dihanyutkan. Para penganalisis penerbangan dan bekas Ketua Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Mary Schiavo berkata, mereka akan melakukan ‘x-ray untuk sonograms’ dan mengambil serpihan untuk mencari nombor siri dan bahagian untuk dipadankan dengan serpihan yang hilang.

- Bekas Pengarah Ujian Persenjataan Perancis Pierre Bascary berkata, jika nombor siri pada serpihan sayap itu sukar dikenal pasti, ia akan diperiksa dengan mikroskop elektron yang boleh dibesarkan sehingga 10,000 kali daripada yang asal.

- Profesor di Universiti Kejuruteraan Angkasa Embry-Riddle Bill Waldock berkata, penganalisis juga akan cuba mencari keretakan kecil pada permukaan serpihan bagi melihat kesan pesawat itu terhempas. Kaedah ultrabunyi juga boleh menunjukkan ‘betapa kuat kesan serpihan itu ter[pisah dari komponen utama’.

- Terdapat juga cadangan bahawa teritip yang terdapat pada serpihan sayap itu boleh memberi petunjuk mengenai keadaan air di mana ia terbentuk dan ini akan memudahkan kawasan pencarian.

Apakah yang akan berlaku jika ia pesawat MH370?

MH370 satu-satunya Boeing 777 yang pernah terhempas di Lautan Hindi dan mungkin serpihan itu dari pesawat yang hilang. Tetapi walaupun ia disahkan oleh penyiasat, tidak mungkin untuk menyelesaikan misteri di sebalik kehilangan pesawat dan mengapa ia menyimpang terlalu jauh dari laluan asal antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Sementara itu, Australia akan terus mencari bangkai dan kotak hitam pesawat jika ia disahkan. Pihak berkuasa akan mencari di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi Lautan Hindi dan mencari di tempat yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 9:22 AM