PEMAIN River Plate, Lionel Vangioni  (kanan) mengasak pemain Tigres, Rafael Sobis.
PEMAIN River Plate, Lionel Vangioni (kanan) mengasak pemain Tigres, Rafael Sobis.

Monterrey, Mexico: River Plate berada di ambang meraih kejuaraan Copa Libertadores buat kali ketiga semalam apabila kelab Argentina itu mengikat Tigres 0-0 pada perlawanan akhir pertama, memberikan mereka kelebihan menjelang aksi di laman sendiri di Buenos Aires minggu depan.

Tigres mengasak sepanjang saingan namun gagal menjaringkan gol di laman sendiri buat kali pertama pada pertandingan tahun ini dan menyalahkan diri sendiri kerana gagal membawa sebarang kelebihan ke hemisfera selatan.

“Kami mencipta peluang tapi gagal menyempurnakannya,” kata pemain tengah Tigres, Egidio Arevalo Rios. “Kami boleh menang di Argentina, kami perlu fokus sepenuhnya dan menekan mereka sejak awal.”

Pemain River, Lionel Vangioni hampir menjaringkan gol sendiri apabila tampanannya terkena palang gol selepas 17 minit manakala tandukan Rafael Sobis terlalu lemah ke dakapan penjaga gol pelawat, Marcelo Barovero dari jarak dekat.

Tuan rumah ada kelebihan tujuh minit sebelum tamat apabila Jurgen Damm menggelecek Barovero namun dia tidak mendapat sudut terbaik menjaringkan gol.

“Ia sukar, mereka datang bukannya untuk bermain, mereka hadir untuk bertahan,”kata Sobis. “Tapi saya fikir kami berhak menang, kami menekan mereka dan mencipta peluang, tapi kami tidak menjaringkan gol.

“Ada satu lagi perlawanan, mereka akan mengasak kami jadi kami mungkin boleh menggunakan kesempatan itu. Mereka akan mendapat sokongan peminat sendiri tapi kami lebih suka bermain di gelanggang lawan.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 9:12 AM