BAROVERO menepis cubaan pemain Hiroshima, semalam.
BAROVERO menepis cubaan pemain Hiroshima, semalam.
Reuters

Osaka: Juara Amerika Selatan River Plate mara ke final Piala Kelab Dunia selepas menang tipis 1-0 ke atas Sanfrecce Hiroshima namun perlu berterima kasih kepada penjaga gol Marcelo Barovero, semalam.

Lucas Alario menanduk masuk gol tunggal pada minit ke-72 apabila penjaga gol Hiroshima Takuto Hayashi gagal menangani sepakan percuma membolehkan Alario menyempurnakan kesempatan ekoran bola muntah.

Namun, Barovero adalah wira sebenar kerana dia berjaya menyelamatkan kelab Argentina itu pada babak pertama dengan beberapa siri tindakan penyelamat menakjubkan.

River, mendapat sokongan 15,000 penyokong yang hadir dari Argentina, akan berdepan sama ada juara Eropah Barcelona atau juara Asia Guangzhou Evergrande pada final Ahad ini.

Hiroshima, yang layak beraksi sebagai juara tuan rumah, menyingkirkan jaguh Oceania Auckland City dan juara Afrika TP Mazembe sebelum ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 7:41 AM