CHONG Wei bukan pilihan utama kejohanan.
CHONG Wei bukan pilihan utama kejohanan.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Undian Kejohanan Dunia 2015 Jakarta mungkin agak berbeza buat Datuk Lee Chong Wei apabila dia bukan saja tidak diletakkan sebagai pemain pilihan malah dijangka bakal bertemu musuh tradisi, Lin Dan dari China di separuh akhir.

Bagaimanapun, jurulatihnya Hendrawan merasakan tidak adil buat Chong Wei jika semua asyik memikirkan atau menjangkakan bekas pemain nombor satu itu dunia mampu melayakkan diri ke perlawanan akhir.

“Jika sebut Chong Wei, orang pasti dia akan mara ke final, tapi kali ini sedikit berbeza,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Chong Wei tidak diletakkan sebagai pemain pilihan berikutan mengalami penurunan ranking dunia akibat digantung kes doping selama lapan bulan (bermula Ogos 2014).

“Berdasarkan undian dikeluarkan hari ini (semalam), saya rasa semuanya akan berjalan lancar. Saya lihat undian itu sebagai sesuatu yang positif. Bagaimanapun, semua harus sedar Kejohanan Dunia agak berbeza berbanding Siri Super Premier atau Siri Super.

“Dia (Chong Wei) perlu fokus satu demi satu perlawanan bakal dihadapi dan selepas ini kami akan berbincang bagaimana untuk mengharungi setiap halangan ini,” katanya yang juga bekas juara dunia.

Ditanya adakah laluan di pusingan pertama dan kedua agak mudah buat Chong Wei apabila bakal berdepan pemain Lithuania, Kestutis Navickas dan pemain Jerman, Marc Zwiebler, Hendrawan berkata, fokus harus diberikan sepenuhnya terhadap setiap perlawanan serta tidak boleh memperlekehkan lawan ditemui.

Jika melepasi dua halangan berkenaan, Chong Wei dijangka bertemu wakil China, Wang Zhengming di pusingan ketiga, manakala menantinya di suku akhir mungkin pilihan ketiga dari India, K Srikanth atau Hu Yun (Hong Kong).

Aksi separuh akhir mungkin dinanti-nantikan peminat badminton seluruh dunia jika Chong Wei berjaya mara ke peringkat berkenaan kerana bakal menentang Lin Dan pilihan kedua dari Denmark, Jan O Jorgensen.

Sementara itu, seorang lagi wakil perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkiffli bakal berdepan laluan sukar bermula dari pusingan pertama lagi apabila akan menentang pilihan keenam dari Taiwan Chou Tien Chen.

Tee Jing Yi dan Lydia Cheah akan beraksi dalam acara perseorangan wanita, manakala Goh V Shem-Tan Wee Kiong adalah wakil tunggal dalam beregu lelaki dan empat wakil untuk beregu wanita iaitu Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean dan Joyce Choong-Yap Cheng Wen.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan, Tan Chee Tean-Shevon Lai, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing akan beraksi dalam acara beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:30 AM