Oleh Afiq Hanif


OPPO melancarkan telefon terbaru dengan kamera boleh putar terbarunya, N3 yang menjadi kesinambungan model berjaya, N1 tidak lama dulu.

Kali ini, bagi menambah kekuatan telefon terbabit, OPPO memberi kuasa CPU Qualcomm Snapdragon 801 quad core berkelajuan 2.3GHz, RAM sebanyak 2GB dan memori dalaman sehingga 32GB yang cukup menjadikannya telefon premium di pasaran nanti.

Tidak cukup dengan itu, ia menampilkan skrin sebesar 5.5 inci HD penuh 1920 x 1080 piksel dan menggunakan gelas Corning Gorilla Glass 3 yang tahan lasak.

Namun, ciri paling unik dalam N3 berbanding N1 dahulu apabila ia mempunyai kamera belakang yang boleh diputar ke depan secara automatik atau manual.

Apabila anda menghidupkan aplikasi kamera, hanya tekan butang pilih kamera hadapan dan ia berputar sendiri ke depan.

Manakala gambar panorama kini boleh diambil lebih mudah tanpa perlu menggerakkan lagi telefon apabila pengguna ha­nya perlu memegang telefon pada satu kedudukan yang kemudiannya mengaktifkan mod panorama dan kamera berputar sendiri untuk merakam.

OPPO juga melengkapkan lagi kemampuan kamera ini dengan fokus pengesan subjek. Video boleh dirakam menggunakan fokus pengesan subjek dan kamera berputar mengikut pergerakan subjek yang difokus menjadikan video lebih stabil dan subjek kekal fokus dalam rakaman.

Selain itu, OPPO bekerjasama de­ngan Schneider Optics dalam menghasilkan lensa kamera N3 membolehkan foto yang dirakam pada resolusi 16MP dinaik taraf kepada kualiti 64MP bagi yang memerlukan gambar lebih besar berkualiti tinggi serta kekal jelas dan terperinci.

Malah, ia dibantu pemproses Pure Image 2.0 Plus yang membuat tetapan kecerahan, fokus, pe­ngesanan wajah dan lain-lain sekelip mata sebelum pengguna habis menekan rakaman gambar.

Terdapat beberapa cara untuk memutarkan kamera belakang ke depan termasuk memilih mod kamera depan dari dalam aplikasi kamera sendiri atau melalui kaedah kedua iaitu dari skrin aplikasi kamera iaitu hanya leret skrin dari atas ke bawah untuk memutar ke depan.

Ataupun pengguna hanya perlu leretkan dari bawah ke atas untuk memutar semula lensa ke belakang.

Satu lagi kaedah unik termasuk menggunakan O-Touch di belakang dan meleretkan sedikit demi sedikit untuk mendapatkan putaran sudut yang dikehendaki.

Pengguna juga boleh mengawal kamera pada N3 dari jarak jauh menggunakan peranti kecil O-click 2.0 yang baru.

Tekan lama butang pada O-click untuk mengaktifkan kamera dan menggunakan arah atas, bawah, kiri dan kanan untuk mengawal sudut kamera yang kemudiannya disusuli dengan satu lagi tekan butang bagi merakam gambar.

Antara ciri lain dalam N3 termasuk pengimbas cap jari yang terletak di belakang serta OPPO Skyline yang menampilkan lampu notifikasi di bawah telefon dan boleh dilihat dari depan atau belakang.

Tidak dilupakan, N3 juga dilengkapi teknologi pe­ngecasan pantas OPPO yang popular iaitu VOOC mini mengekalkan kemampuan mengecas 75 peratus bateri dalam masa 30 minit malah, cas selama lima minit pun sudah cukup untuk memboleh­kan pengguna membuat panggilan dan berbual bagi tempoh dua jam lamanya.

OPPO N3 dijangka dijual di pasaran antarabangsa bermula November 2014 dan tiba di pasaran Malaysia pada Disember 2014 boleh didapati dalam warna putih dengan harga yang diumumkan kira-kira RM2,199.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:00 AM