NWAKEME (kanan) tidak dapat pelepasan majikan.
NWAKEME (kanan) tidak dapat pelepasan majikan.

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan semua pemain yang dipanggil wajib melaporkan diri bagi sesi latihan skuad Pilihan Malaysia kendalian Dollah Salleh di Wisma FAM Ahad ini.

Beliau berkata, pemain yang berada dalam senarai 20 pemain seperti diumumkan kelmarin harus mengikut arahan kerana ia tertakluk di bawah Statut FAM dengan majikan iaitu persatuan negeri mahupun kelab tidak memiliki kuasa untuk menghalang mana-mana pemain untuk menyertai kem latihan pasukan kebangsaan.

“Pemain yang dipanggil wajib melaporkan diri. Sama ada mereka terpilih untuk terus kekal bersama pasukan atau sebaliknya, ia bergantung kepada keputusan jurulatih pada Ahad ini.

“Pemain-pemain yang ditimpa masalah kecederaan serius saja kemungkinan diberikan pengecualian daripada menyertai kem latihan pasukan kebangsaan namun mereka perlu melaporkan diri terlebih dulu.

“Tiada majikan boleh menghalang mereka daripada bersama pasukan kebangsaan apabila mendapat panggilan skuad kebangsaan kerana ia tertakluk kepada Statut FAM. Mereka wajib melaporkan diri bersama skuad negara,” katanya Hamidin semalam.

Dalam laporan Arena Metro kelmarin, pemain pertahanan Pahang, Razman Roslan meluahkan hasratnya untuk tidak bersama skuad Pilihan Malaysia bagi persiapan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Julai ini.

Selain Razman, pengurus Selangor, Amirudin Shari juga tidak menolak kemungkinan untuk meminta pengecualian untuk Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain pertahanan import, Robert Cornthwaite atas faktor keletihan dan kecederaan.

Turut mengambil pendekatan sama, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang tidak mahu melepaskan penyerang import sensasi, Dickson Nwakaeme kerana bimbang risiko kecederaan yang boleh menjejaskan peluang mereka dalam perebutan kejuaraan Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:03 AM