JAMAL Nasir berkata FAM sebenarnya tidak menguatkuasakan atau menjalankan undang-undang yang termaktub. HAIRUL ANUAR RAHIM
JAMAL Nasir berkata FAM sebenarnya tidak menguatkuasakan atau menjalankan undang-undang yang termaktub. HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa supaya tampil lebih berani dan tegas dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada terutama dalam soal menghormati panggilan skuad Harimau Malaya di perlawanan-perlawanan peringkat antarabangsa selepas ini.

Gesaan itu diluahkan bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir Ismail yang hairan mengapa FAM terlalu 'memberi muka' buat beberapa pemain yang dilihat 'suka-suka' untuk menolak panggilan skuad negara dengan menggunakan pelbagai alasan.

Katanya, badan induk itu sebenarnya mempunyai 'kuasa' untuk mengarahkan pemain yang dipilih oleh jurulatih kebangsaan melaporkan diri di kem latihan pasukan negara.

Jelasnya, kesukaran mendapatkan kerjasama pemain boleh menyebabkan mereka dan kelab yang bersaing di liga tempatan boleh dikenakan hukuman berat seperti mana yang terdapat dalam buku Peraturan Mengenai Status Dan Perpindahan Pemain 2019.

"Sebenarnya dari segi undang-undang dah ada, kalau pemain-pemain daripada kelab-kelab ini enggan menyertai pasukan kebangsaan mereka boleh digantung.

"Jadi saya rasa perkara ini FAM sebenarnya tidak menguatkuasakan atau menjalankan undang-undang yang termaktub," katanya ketika dihubungi.

Menerusi semakan Arena Metro terhadap buku peraturan itu yang boleh diakses di laman sosial mendapati, di bawah Artikel 1A:Ketidakpatuhan (1) (a) dan (c) menyaksikan pasukan dan pemain boleh dikenakan denda dan digantung daripada menyertai pertandingan tempatan atau antarabangsa.

Dalam kurungan 'a' menjelaskan, kelab yang tidak memberi kerjasama boleh didenda RM100,000 dan dipotong tiga mata selain digantung automatik daripada pertandingan domestik.

Malah, hukuman berat juga menanti pemain dalam kurungan 'c' menegaskan pemain yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM25,000 serta digantung daripada beraksi dalam liga tempatan atau antarabangsa.

Ujar Jamal Nasir lagi, ciptaan pelbagai alasan oleh pemain juga turut didorong majikan atau kelab yang dilihat seolah 'menghalalkan' kehendak pemain yang enggan menyertai kem latihan negara hingga memberi kesan kepada prestasi skuad kebangsaan.

"Kelab-kelab sekarang ini banyak fikir pasal kepentingan kelab sahaja sebab bayar gaji. Mereka bimbang bila pemain pergi boleh dapat kecederaan dan sebagainya.

"Patutnya kita kena berbesar hati apabila pemain-pemain kita mewakili negara...besar kemungkinan pemain kita juga dapat manfaat kerana mereka akan dapat lebih banyak pengalaman dan keyakinan diri untuk meningkat lagi permainan dengan lebih baik.

"Kelab tak seharusnya menggagalkan pemain daripada menyertai pasukan kebangsaan sebab kita mesti ada semangat bahawa negara adalah nombor satu. Apa jua risiko pun termasuk kecederaan hanya Allah yang tahu, dan main di mana-mana pun boleh cedera termasuk ketika berlatih di kelab," katanya.

Terdahulu, peminat dan penyokong skuad Harimau Malaya cukup marah apabila Badan Siasatan Bebas Skuad Kebangsaan mendedahkan wujud percanggahan pendapat antara bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai senarai pemain yang boleh dipanggil menyertai skuad negara di Piala AFF di Singapura, bulan lalu.

Berdasarkan pendedahan itu, Cheng Hoe mengakui kepada Badan Siasatan Bebas yang dirinya sukar mendapatkan pemain utama yang diinginkan, sedangkan Hamidin pula menjelaskan jurulatih negara boleh memanggil sesiapa pun ke kem negara tanpa masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 10:19 PM