TIARA gigih berlatih menari.
TIARA gigih berlatih menari.
ADLIN (kiri) berbincang dengan Tiara (tengah) dan Pat mengenai konsert ini.
ADLIN (kiri) berbincang dengan Tiara (tengah) dan Pat mengenai konsert ini.
Oleh Norhadiani Baharom


Kembalinya pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) sempena meraikan ulang tahun ke-10 penerbitannya adalah perkhabaran gembira buat pencinta tegar karya produksi Enfiniti Vision Media ini.

Bagaimanapun, ia bukanlah pementasan semula tetapi konsert yang dinamakan Puteri Gunung Ledang Dalam Konsert - Rebirth of The Legend dengan misi dan visi yang berbeza.

Pengarahnya, Adlin Aman Ramlie yang turut menjayakan watak Sultan Mahmud berkata, perlaksanaan konsert PGL itu tiada kaitan dengan dua produk sebelum ini, cuma ia membawa semula momen atau cebisan penting dalam filem dan teater sebelum ini.

“Ia adalah garapan baru. Bukannya pementasan semula teater yang diberi nafas baru. Kita mencipta satu lagi edisi PGL.

“Jika sebelumnya projek PGL dimulakan dengan filem kemudian teater yang mendapat permintaan untuk dipentaskan berulang kali, edisi terbaru PGL adalah sebuah konsert yang tidak pernah disaksikan dalam mana-mana konsert tempatan.

“Kenapa konsert? Ini kerana kita pernah menghasilkan filem dan juga teater, jadi apa lagi selain dua eksperimen yang pernah kami lakukan. Justeru penganjuran sebuah konsert adalah pelengkapnya tambahan pula filem, teater dan muzik adalah tiga lapangan yang berbeza, namun berada di bawah cabang yang sama iaitu seni,” katanya kepada RAP.

Menurut Adlin, konsert berkenaan menampilkan 10 lagu yang pernah melatari filem dan teater PGL itu seperti Keranamu Kekasih, Di Puncak Tertinggi, Katakan Hadirmu Kerana Cinta dan Asmaradana dalam bentuk pementasan berskala konsert.

“Apa yang menarik setiap lagu itu tidak akan kedengaran sama seperti yang pernah yang didengari di dalam filem mahupun teater. Kita mengubah nuansanya kepada irama terkini seperti hip hop, house music, rave dan jazz sekali gus menjadikan PGL kali ini dalam kelas tersendiri,” katanya.

Tanggungjawab berkenaan diberikan kepada produser muzik tidak asing lagi iaitu Roslan Aziz.

Adlin berkata, dia berharap konsert ini bukan saja mencipta sejarah baru di dalam industri hiburan tempatan serta antarabangsa, bahkan mewujudkan komuniti penonton baru.

Ditanya mengenai usaha mengembalikan Datuk M Nasir yang pernah memegang watak Hang Tuah manakala Datuk Siti Nurhaliza meminjamkan suara untuk lagu Bagaikan Sakti, Adlin berkata, pada mulanya mereka ada perancangan berbuat demikian.

“Kita ada terfikir, tetapi kerana konsert ini masih mempunyai elemen teater, Stephen Rahman Hughes yang melakonkan watak Hang Tuah di dalam pementasan teater PGL dirasakan lebih sesuai.

“Sementara Siti Nurhaliza pula, Bagaikan Sakti yang dinyanyikan digunakan sebagai runut bunyi selain muzik latar bagi babak Puteri dan Hang Tuah meluah perasaan cinta di puncak Gunung Ledang, namun di dalam persembahan teater Tiara yang menyanyikan sendiri lagu ini.

“Agak janggal sepanjang persembahan konsert Tiara yang membawa watak Puteri Gunung Ledang, tetapi apabila sampai ke babak di puncak gunung Siti yang menyanyikannya,” katanya.

Konsert ini turut dijayakan AC Mizal sebagai Raja Majapahit dan Gusti Adipati.

Sementara itu, Pat Ibrahim selaku pereka tari ketika diminta mengulas cabarannya mencipta koreografi, mengakui tuntutan dalam tugasannya cukup mencabar.

“Latar belakang dan kepakaran saya adalah tarian tradisional, tetapi untuk PGL Konsert - Rebirth of The Legend ini, memerlukan saya membuat pelbagai kajian berhubung tarian moden di mana YouTube menjadi pusat sumber saya.

“Dalam mereka tarian moden, saya masih mengekalkan bunga-bunga tarian Melayu sekali gus mengekalkan identiti budaya Malaysia di dalam pementasan ini. Satu lagi cabaran, kami sudah mula berlatih sedangkan kerja-kerja penghasilan muzik masih dalam pembikinan,” katanya.

Dalam pada itu, Tiara mengharapkan konsep baru yang cuba diketengahkan ini yang bakal berpanggung di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 20 hingga 24 Mac, ini menjadi pengubat rindu peminat selain dapat diterima.

“Saya sebenarnya sangat teruja dapat mengembalikan semula PGL kepada peminat setia dan penonton, lebih-lebih lagi bersatu semula dengan tenaga kerja hebat dengan keupayaan imaginasi luar biasa seperti Adlin, Pat, Raje Malek selaku pengurus produksi dan pereka set PGL yang pertama lagi, Roslan Aziz dan semua pihak yang terbabit sama ada krew produksi termasuklah semua pelakon,” katanya.

Maklumat tiket sila layari laman web www.Tickethotline.com.my atau www.Ticket2u.biz atau hubungi talian Ticket hotline 03-7725 1177 atau 03-4147 8600.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:13 AM