AFP

Assen, Belanda: Permusuhan Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo bagi merebut kejuaraan dunia berterusan di Assen esok dalam apa yang menjanjikan saingan sengit bagi Grand Prix Belanda di litar yang dianggap ‘Gereja Besar’ sukan permotoran.

Hanya satu mata memisahkan dua rakan sepasukan Yamaha itu selepas empat kemenangan berturut-turut Lorenzo menyaksikannya merapati Rossi di puncak kedudukan MotoGP.

Kejayaan kali terakhir di Catalunya selepas kemenangan di Mugello, Le Mans dan Jerez menjadikan juara dunia dua kali, Lorenzo sebagai pelumba yang perlu diberi perhatian di litar legenda Belanda itu.

Dengan Rossi menang pada perlumbaan pembuka tirai di Qatar dan kemudian di Argentina, kelompok belakang diketuai penunggang Ducati, Andrea Iannone, yang ketinggalan 43 mata di belakang menjelang perlumbaan kelapan musim ini.

Rossi sukakan Assen, penunggang bergelar ‘The Doctor’ itu memburu kemenangan ketujuhnya dalam kelas perdana dan kesembilan dalam semua kategori di satu-satunya litar yang menjadi hos kejuaraan dunia setiap tahun sejak diperkenalkan pada 1949.

Namun pelumba veteran Itali itu sedar dia perlu meningkatkan kepantasannya ketika kelayakan untuk mengatasi Lorenzo.

“Bermula dari barisan ketiga sukar, di Barcelona saya mempunyai rentak yang bagus dan tidak mengambil masa lama untuk menduduki tangga kedua tapi Jorge sudah terlalu jauh,” katanya semalam.

Lorenzo, yang menikmati persembahan terbaik kariernya, berkata: “Saya mempunyai beberapa tempoh amat bagus dalam karier saya, tapi mungkin kami tidak memiliki jentera ini.

“Terutama dalam perlumbaan jentera kami amat sekata dan kami boleh mengekalkan rentak kepantasan tertinggi, itulah sebabnya kami mendominasi pada hari perlumbaan hingga sekarang.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:27 AM