ROSSI ketika menjuarai perlumbaan di Barcelona.
ROSSI ketika menjuarai perlumbaan di Barcelona.
AFP

Assen, Belanda: Selepas menjuarai perlumbaan keduanya pada kempen MotoGP musim ini, Valentino Rossi menuju ke salah satu litar diminatinya dengan hasrat untuk menambah tekanan terhadap pendahulu kejuaraan Marc Marquez.

Penunggang Itali itu yakin mampu mencatat kemenangan kelapan di trek Assen pada Grand Prix Belanda Ahad ini, selepas menjulang trofi di Barcelona.

Rossi terlepas peluang menjulang gelaran ke-10 musim lalu apabila ia dimenangi rakan sepasukan Yamaha, Jorge Lorenzo namun kejayaan menakluk Grand Prix Catalunya membolehkannya merapatkan jurang kepada 22 mata berbanding Marquez dan 12 mata berbanding Lorenzo, yang mengalami pelanggaran di Barcelona.

Keadaan itu menyebabkan saingan memburu kejuaraan terbuka luas selepas tujuh perlumbaan.

Rossi, 37, menewaskan Marquez dan Lorenzo untuk muncul juara di Belanda tahun lalu, namun mengakui kempen kali ini sukar diduga.

“Saya menggunakan tempoh singkat ini untuk berehat dan kini bersedia untuk perlumbaan seterusnya,”kata Rossi.

“Saya sukakan Assen, ini antara litar kegemaran saya, namun ini tidak bermakna kerana setiap perlumbaan tahun ini terlalu terbuka dan sukar dipastikan.

“Kami berlumba dengan baik dan sesi ujian berjalan lancar. Kami perlu terus fokus, cuba bekerja dengan cara sebaik mungkin dan lihat apa berlaku.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 9:18 AM