Pelumba Yamaha Fabio Quartararo meraih kejayaan mengungguli MotoGP Belanda. FOTO AFP
Pelumba Yamaha Fabio Quartararo meraih kejayaan mengungguli MotoGP Belanda. FOTO AFP
AFP

Assen, Belanda: Pelumba Yamaha Fabio Quartararo dari Perancis mengungguli perlumbaan MotoGP Belanda untuk melebarkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan aksi dominan di Assen.

Dua pelumba Sepanyol, Maverick Vinales dan juara bertahan Joan Mir melengkapkan podium perlumbaan ketika Quartararo melengkapkan kemenangan keempat dalam perlumbaan kempen kali ini sebelum rehat pertengahan musim.

Quartararo, 22, dalam musim ketiganya di MotoGP, melebarkan jurang kepada 34 mata ke atas pesaing terdekat Johann Zarco, yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Belanda.

Zarco juga dari Perancis kini mengumpul 122 mata dengan pelumba dari Itali, Francesco Bagnaia 109 mata.

Pelumba Yamaha Vinales bermula di petak utama selepas mencipta rekod baharu litar berkenaan ketika sesi kelayakan semalam, tetapi ditewaskan rakan sepasukannya pada perlumbaan hari ini.

Quartararo yang diberi jolokan 'El Diablo', meraikan kejayaannya dengan memukul bola golf di atas litar selepas perlumbaan ketika merujuk kepada video yang dimuat naik ke media sosial pertengahan minggu ini.

Juara dunia tujuh kali Valentino Rossi gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh ketika saingan berbaki tujuh pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 10:35 PM