PEGAWAI kastam memeriksa daging reput yang dirampas dalam  serbuan di Hunan baru-baru ini.
PEGAWAI kastam memeriksa daging reput yang dirampas dalam serbuan di Hunan baru-baru ini.
Reuters

Shanghai: Pihak berkuasa China merampas daging seludup bernilai tiga juta yuan, (RM1.8 bilion) termasuk yang sudah 40 tahun dan reput, lapor akhbar rasmi China Daily, semalam.

Ia kejutan terbaru mengenai keselamatan makanan di negara itu.

Beijing mengetatkan peraturan keselamatan makanan April lalu bagi menangani reputasinya berhubung skandal makanan, termasuk membabitkan daging keldai yang dicemari dengan DNA serigala hingga susu bayi yang dicemari dengan melamin sehingga menyebabkan kematian sekurang-kurangnya enam bayi pada 2008.

Pihak berkuasa China melancarkan operasi membanteras penyeludupan daging lembu dan daging beku sebagai tambahan kepada kempen tahun lalu untuk menghapuskan penyeludupan hasil ladang.

Sebanyak 21 kumpulan penyeludup berjaya ditumpaskan sehingga bulan ini, membawa kepada rampasan lebih 100,000 tan daging seludup, termasuk kepak ayam, daging babi dan lembu, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam satu serbuan, polis di Hunan, wilayah selatan negara itu, menahan 20 orang.

Pegawai kastam mendapati sebahagian daging itu sudah 40 tahun, bermakna haiwan berkenaan disembelih sekitar 1970-an.

Daging lain pula didapati sudah reput dan busuk.

“Baunya amat busuk, Saya nyaris pengsan sebaik membuka pintu,” kata seorang pegawai, Zhang Tao.

Menurut sumber industti, ribuan tan daging lembu diseludup ke China menerusi Hong dan Vietnam dari negara seperti Brazil dan India bagi mengelak cukai.

Penyeludup sering menggunakan kenderaan biasa, tanpa peti sejuk. Ia menyebabkan daging itu busuk dan reput,” kata pegawai antipenyeludupan Yang Bo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 11:20 AM