SINDIKET seludup guna kenderaan bawa khinzir untuk elak kegiatan mereka dibaui pihak berkuasa.
SINDIKET seludup guna kenderaan bawa khinzir untuk elak kegiatan mereka dibaui pihak berkuasa.
ANGGOTA Maritim Wilayah Selatan merampas rokok seludup dari kapal KM Karjaya Jaya bernilai RM5.3 juta di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
ANGGOTA Maritim Wilayah Selatan merampas rokok seludup dari kapal KM Karjaya Jaya bernilai RM5.3 juta di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Kuala Lumpur: Jijik dan kotor namun demi keuntungan lumayan, sindiket pengedaran rokok sanggup melakukan apa saja termasuk menggunakan lori babi bagi menyeludup rokok dari pintu sempadan ke destinasi tertentu.

Kaedah ini disifatkan paling berjaya dengan beranggapan anggota pihak berkuasa tidak akan melakukan pemeriksaan kerana lori yang digunakan membawa haiwan yang sensitif kepada umat Islam.

Ia berdasarkan siasatan Harian Metro berhubung isu lambakan rokok seludup selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Mac lalu mendedahkan kerajaan kerugian RM4 bilion dalam bentuk hasil cukai tidak berbayar akibat sindiket menguasai 36.9 peratus daripada keseluruhan pasaran rokok tempatan sepanjang tahun lalu.

Pasukan Polis Marin (PPM) turut mendedahkan aktiviti penyeludupan rokok berjenama John, Luffman, U2, Canyon dan Saat bertambah sejak lima bulan lalu berikutan kenaikan harga rokok sah disebabkan eksais.

Kenapa masih berlaku lambakan rokok seludup di pasaran tempatan di sebalik operasi berterusan pihak berkuasa dan tangkapan termasuk peruncit yang bersekongkol menjual barangan itu.

Apa yang Harian Metro dapati amat memeranjatkan berdasarkan pendedahan seorang bekas penyeludup yang hanya mahu dikenali Akey, 50.

Dia mengakui sindiket sanggup menggunakan pelbagai kenderaan termasuk lori babi bagi memastikan rokok yang dipesan peniaga dapat dihantar mengikut masa yang ditetapkan.

Katanya, pernah sekali kerana terdesak, dia berjumpa sendiri dengan pemandu lori babi bagi membawa ‘barang’ ke satu destinasi. Pemandu terbabit dibayar tinggi untuk perjalanan itu.

“Semua rokok itu diletakkan di dalam lori babi berkenaan. Sebelum ini, kami pernah gunakan lori membawa ais dan makanan namun dapat dihidu pihak berkuasa. Walaupun nampak jijik tapi ia adalah cara paling mudah bagi mengaburi pihak berkuasa. Mahu cari wang mesti tahu cara.

“Malah, banyak tahun juga saya gunakan kaedah ini (lori babi). Nampak bagus dan berjaya. Saya yakin penyeludup lain pun ada guna kaedah sama,” katanya yang kini sudah tidak lagi aktif menjalankan kegiatan menyeludup rokok seludup disebabkan persaingan melampau dalam kalangan penyeludup lain.

Menurutnya, sebaik tiba di destinasi ditetapkan, ‘orang-orangnya’ akan memindahkan rokok seludup itu ke kenderaan lebih kecil sebelum diagihkan kepada peniaga tertentu atau pelanggan biasa.

Dia berkata, menyeludup rokok seludup paling untung dan mudah mendapat wang segera kerana ia dijual berlipat kali ganda murah berbanding rokok sah di pasaran.

“Untuk sekotak, saya boleh dapat antara RM1 hingga RM1.50, bayangkan kalau berpuluh ribu kotak dibawa sekali masuk. Ini baru untung penyeludup, peniaga juga dapat untung yang sama antara RM1 hingga RM1.50. Ia masih tinggi berbanding jika menjual rokok sah,” katanya .

Akey mengakui pihak sindiket terkesan dengan operasi bersepadu agensi kerajaan khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) namun bagi yang terbabit dalam perniagaan haram itu tetap akan memikirkan cara memastikan produk rokok seludup terjual di pasaran.

Menurutnya, permintaan terhadap rokok seludup adalah tinggi dalam kalangan perokok lebih-lebih harga rokok sah yang mahal berbanding rokok seludup semurah RM3.

“Selagi orang mahukan rokok seludup, penyeludup akan menggunakan pelbagai cara kreatif malah jijik untuk memenuhi permintaan. Barang itu memang murah tapi perlu membayar pada harga mahal untuk mendapatkannya. Tepuk dada tanya selera, jangan salahkan penyeludup yang menggunakan pelbagai cara untuk membawa masuk rokok,” katanya.

Sebelum ini, sindiket penyeludupan terbabit turut terdesak menggunakan pelbagai taktik jijik demi mengaburi mata pihak berkuasa kerana mereka terpaksa bersaing dengan sindiket lain yang menjalankan penyeludupan barangan sama.

Sebelum ini, kebanyakan penyeludupan rokok seludup dibuat menggunakan kontena, MPV mewah, teksi, kereta sewa, lori ais, lori sayur, lori ayam dan lori tangki.

Umpamanya pada 12 April lalu, pihak berkuasa Singapura mengesan taktik penyeludupan 10,000 karton rokok seludup menggunakan lori simen dan menahan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 38 tahun di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Rokok terbabit ditemui dalam sebuah treler yang didaftarkan di Malaysia yang diisytiharkan sebagai mengangkut simen.

Tidak hairanlah, berdasarkan firma penyelidikan Nielsen dalam Kajian Rokok Seludup (ICS) setakat Disember 2015 menunjukkan penggunaan rokok seludup di negara ini meningkat kepada paras paling tinggi iaitu 45.6 peratus. Kajian itu turut mendedahkan bahawa satu daripada dua kotak rokok yang dibeli di negara ini adalah rokok seludup.

Peruncit yang menjual, mengedar dan memiliki rokok seludup boleh didakwa mengikut Akta Kastam 1967.

Orang ramai mempunyai maklumat premis perniagaan menyimpan, memiliki dan terbabit mengangkut rokok seludup sila laporkan kepada JKDM di talian 1-800-88-8855.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, rokok seludup yang menggunakan lori babi adalah haram kerana terdapat kemungkinan ia bersentuhan dengan najis.

“Dalam Islam jelas menggariskan pengharaman babi yang diletakkan kategori najis paling berat iaitu mughallazah dan jika terdapat sindiket rokok seludup yang menggunakan penggunaan lori najis untuk membawanya, dibimbangi kotak serta bahan dalamnya tercemar.

“Ini kerana terdapat kemungkinan besar kotak rokok itu bersentuhan dengan bekas atau babi itu sendiri dan jika bersentuhan, hukum rokok itu turut haram kerana sudah dicemari dengan najis.

“Jika tercemar, rokok berkenaan turut dikelaskan dalam kategori najis dan haram untuk mengambilnya,” katanya.

Taktik penyeludupan sebegini turut dilakukan di Eropah apabila penyeludup menggunakan kenderaan mengangkut haiwan, sayuran atau buah-buahan untuk menyembunyikan rokok menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menggunakan alat pengimbas bagi mengesan barangan terlarang.

Di Malaysia penggunaan teknologi imbasan hanya dilakukan di sempadan namun sebaik melepasinya penyeludup menggunakan pelbagai taktik termasuk menjijikkan seperti menggunakan lori babi sebelum diagihkan kepada peruncit. Sehubungan itu, pengguna janganlah mendedahkan diri kepada rokok seludup yang tidak diketahui bagaimana ia dibawa masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 9:41 AM