Seoul: Korea Selatan semalam melaporkan kematian ke-15 akibat Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) manakala 145 dijangkiti wabak terbabit, sekaligus memaksa salah sebuah daripada hospital utama negara itu menggantung perkhidmatannya.

Kematian terbaru membabitkan lelaki berusia 62 tahun yang meninggal dunia semalam di bandar pelabuhan selatan, Busan. Dia disahkan menghidap virus itu pada 7 Jun, selepas dijangkiti di Hospital Samsung Seoul - hospital utama yang turut menjadi tempat lebih 70 pesakit dijangkiti.

Kementerian kesihatan semalam turut mengesahkan tujuh kes terbaru, termasuk empat kes dari Hospital Samsung.

Seorang paramedik antara tujuh yang dijangkiti wabak itu ketika membantu membawa pesakit MERS - yang meninggal dunia tiga hari kemudian - ke hospital pada 7 Jun lalu. Pemandu ambulans terbabit turut dijangkiti.

Seorang pesakit dijangkiti di pusat bandar Daejoon manakala seorang lagi di Hwaseong, 43 kilometer dari selatan Seoul.

Bagi mengelak jangkitan berterusan antara pesakit dan kakitangan perubatan, Hospital Samsung semalam mengumumkan menggantung kebanyakan operasi mereka.

Menurut presiden hospital terbabit Song Jae-Hoon, mereka akan berhenti merawat pesakit luar, memasukkan pesakit baru dan berhenti melakukan pembedahan yang tidak penting.

Selain itu pelawat juga tidak dibenarkan mengunjungi hospital, sambil menambah akan memutuskan sama ada mahu meneruskan penggantungan operasi ataupun tidak pada 24 Jun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:37 AM