LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Wimimedia Commons
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Wimimedia Commons
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ425 yang dalam penerbangan dari Mumbai, India ke Singapura terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira 4 petang tadi.

Mengikut kenyataan dikeluarkan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) hari ini, pesawat itu berlepas dari Mumbai pada 8.44 pagi tadi dan sepatutnya tiba di republik itu pada 4.44 petang.

Difahamkan, pesawat berkenaan melakukan pendaratan cemas kira-kira 4 petang selepas mengalami masalah teknikal.

Bagaimanapun, pesawat jenis Boeing 777-200 itu mendarat dengan lancar tanpa sebarang masalah malah tiada sebarang kecederaan dilaporkan pada setiap penumpang sejurus pesawat mendarat.

Kenyataan sama menyebut, punca kerosakan pesawat itu sedang disiasat oleh SIA dan segala urusan berhubung penerbangan seterusnya akan diuruskan oleh syarikat penerbangan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 6:33 PM