PESAWAT Singapore Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT Singapore Airlines. FOTO fail AFP
Agensi

Singapura: Akibat tidak berpuas hati, suami isteri menuntut Singapore Airlines (SIA) membayar ganti rugi kerana ditempatkan di sebelah seekor anjing sepanjang penerbangan dari Paris ke Singapura.

Portal The Insider melaporkan, Gill dan Warren Press, dari Wellington, New Zealand, memberitahu portal berita Stuff, mereka mahu SIA mengembalikan wang untuk tiket penerbangan 13 jam kerana pengalaman tidak menyenangkan selepas anjing berkenaan kentut, mengeluarkan air liur dan mendengus.

Pasangan itu berkata, mereka membeli dua tempat duduk ekonomi premium dalam penerbangan SIA.

Kemudian, mereka beralih ke tempat duduk ekonomi dan duduk di sebelah anjing penumpang lain yang mengeluarkan air liur dan kentut sepanjang perjalanan.

Pasangan itu berkata, mereka tidak dimaklumkan akan duduk di sebelah anjing sebelum penerbangan itu.

"Saya mendengar bunyi dengusan yang kuat. Saya ingatkan ia telefon suami, rupa-rupanya ia kerana anjing itu bernafas," kata Gill.

Menurut Gill, lebih memburukkan keadaan, haiwan itu mula kentut di tengah penerbangan dan mengambil ruang kaki Warren.

"Penumpang tidak boleh membawa anjing itu keluar di lorong kerana akan menyebabkan troli tidak dapat melalui (lorong)... ia bermakna kepala (anjing)itu berada di bawah kaki suami saya.

"Suami saya berseluar pendek, dan terkena air liur anjing itu di kakinya," katanya.

Pasangan itu mengadu kepada seorang pramugari dan ditawarkan dua tempat duduk dalam ekonomi yang dikhaskan untuk kakitangan SIA.

Katanya, pasangan itu diberi jaminan bahawa mereka akan dihubungi oleh syarikat penerbangan itu selepas mereka mendarat.

Bagaimanapun, pasangan itu berkata, ia mengambil masa dua minggu untuk syarikat penerbangan itu menghubungi mereka dengan permohonan maaf dan menawarkan dua baucar masing-masing bernilai AS$73 (kira-kira RM341).

Gill dan Warren menganggap bayaran itu tidak setimpal serta mendakwa syarikat penerbangan itu mengambil masa hampir sebulan untuk membuat tawaran balas iaitu baucar perjalanan bernilai NZ$200 (kira-kira RM553), namun mereka enggan kerana inginkan bayaran balik penuh.

Dalam satu kenyataan kepada Insider, wakil SIA memohon maaf kepada pasangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 11:55 AM