Ellie anggap kejayaan gondol Pengarah Harapan cetus semangat terus hasilkan filem terbaik.
Ellie anggap kejayaan gondol Pengarah Harapan cetus semangat terus hasilkan filem terbaik.
Oleh Ardini Sophia Sina


Terharu, gembira, bersemangat. Itulah antara emosi yang dirasai Ellie Suriaty Omar selepas dinobatkan Pengarah Harapan pada Malam Perasmian Festival Filem Malaysia Ke-26 (FFM26), Rabu lalu.

Mempertaruhkan filem sulung, Penanggal, wajah Ellie berseri-seri tidak lekang dengan senyuman. Segala kerja keras dan usahanya kini membuahkan hasil.

Tidak hanya sebagai pelakon, Ellie membuktikan karyanya mempunyai kelainan. Dalam kategori itu, Ellie menewaskan Namron melalui Psiko Pencuri Hati, Syed Hussain (Langgar), Nik Amir Mustapha (KIL) dan Esma Daniel ( Zaiton Ceritaku).

Penaggal juga mengungguli pencalonan FFM26 dengan 15 kategori antaranya Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik serta Cerita Asal Terbaik.

Ellie yang hadir bersama suami, Azri iskandar berkata, kejayaan itu satu permulaan baginya untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti.

"Sudah pasti saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya tidak menyangka kemenangan itu berpihak kepada saya. Anugerah itu adalah pemangkin semangat untuk terus berkarya.

"Saya inginkan satu transformasi dalam industri perfileman kita. Untuk merealisasikan impian itu, kita harus mempunyai satu penanda aras. Penanggal sebenarnya bukanlah cerita seram tetapi mesej yang saya mahu angkat adalah ketuhanan.

"Tidak dinafikan, ada maklum balas mengatakan filem itu tidaklah seram seperti yang mereka jangkakan. Saya faham. Perasaan terlalu takut ketika menonton Penanggal tidak timbul kerana bukan itu tujuan utama saya," katanya.

Mempunyai perancangan menghasilkan filem seterusnya, Ellie mahu mencuba genre lain tetapi tidak menolak untuk tetap menghasilkan filem seram.

Namun, penekanan diberikan haruslah berbeza dengan naskhah sedia ada. Walaupun selepas ini bakal menghasilkan filem seperti Penanggal sekali lagi, Ellie akan menitik beratkan jalan cerita.

"Saya akan pastikan jalan cerita filem seterusnya tidak akan sama dengan Penanggal dan saya akan pastikan ada kelainan.

"Andai saya mahu hasilkan filem seram, biarlah ia mempunyai cerita yang ingin disampaikan kepada penonton. Saya tidak mahu karya itu kosong tanpa sebarang mesej," katanya.

Ellie juga menyifatkan anugerah diterima adalah hikmah disebalik keguguran dialami saat menjalani penggambaran filem itu. Ketika itu, usia kandungannya baru lima bulan.

Walaupun kehilangan anak keempat, Ellie tetap meneruskan penggambaran kerana tidak mahu terlalu memikirkan nasib menimpanya.

"Saya tidak sedih apabila kehilangan anak malah saya gembira kerana di akhirat nanti sudah ada yang menunggu saya. Insya-Allah, dia boleh menyelamatkan saya di akhirat kelak. Bukankah itu sesuatu yang menggembirakan?

"Seperti yang saya katakan tadi, Penanggal filem ketuhanan. Apabila kita melakukan cerita seperti ini sudah pasti saya akan diuji. Ini adalah salah satu ujian saya dan tidak ada apa yang perlu dikesalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:00 AM