DAGING dan nanas dibakar menggunakan kayu dan arang sebelum disajikan panas.
DAGING dan nanas dibakar menggunakan kayu dan arang sebelum disajikan panas.
Aniza Zainudin


Sajian variasi daging panggang (grill) segar dihidangkan tanpa henti ke meja pelanggan menjadi tarikan terbaru restoran Vista Brasserie by Chef Zubir.

Beraneka daging daripada ayam, lembu, kambing, sosej dan ikan salmon disajikan kepada pelanggan mengikut konsep sajian daging panggang popular, ‘Churrasco’.

Konsep ‘Churrasco’, popular dalam masyarakat Amerika Selatan terutama Brazil, bererti makan sehingga puas mengikut keupayaan individu dan tanpa menetapkan saiz hidangan kepada pelanggan.

Bersama pisau pemotong di tangan, pelayan akan membawa daging panggang ke serata restoran dan menyajikan daging panggang panas terus ke pinggan pelanggan.

Pelayan akan berhenti menyajikan daging Churrasco sebaik menerima ‘isyarat’ daripada pelanggan yang sudah kenyang.

Menurut Cef Zubir, konsep Churrasco masih baharu dalam kalangan penduduk Malaysia dan beliau berhasrat untuk berkongsi keistimewaannya bersama penggemar menu daging panggang tempatan.

“Daging lembu, kambing, ayam, ikan salmon, sosej serta potongan buah nanas akan dibakar menggunakan arang dan kayu, yang menghasilkan aroma unik dan sangat enak.

“Demi menghasilkan daging yang kaya dengan cita rasa, perapan bersama campuran jintan manis, ketumbar, cili dan rempah-ratus lain dilakukan selama satu malam.

“Set Churrasco didatangkan bersama set bufet dengan hidangan lebih 40 menu. Selain itu, kita juga menawarkan sajian ala carte,” katanya.

Hidangan daging lembu, kambing, ayam dan sosej sememangnya memenuhi cita rasa tempatan. Tekstur daging yang lembut dan memiliki rasa unik, manakala aroma hasil membakar menggunakan arang pasti membuka selera.

Potongan buah nanas bakar sebagai pencuci mulut terakhir sememangnya gabungan terbaik. Selain itu, Vista Brasserie by Cef Zubir menyediakan sajian antarabangsa lain termasuk set Tepanyaki (Jepun) dan set Bulgogi (Korea).

Menariknya, setiap set itu dilengkapi diet yang seimbang dan mengikut budaya masyarakat antarabangsa berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:00 AM