MANGSA meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan. FOTO ihsan pembaca
MANGSA meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan. FOTO ihsan pembaca
Oleh Syazwan Msar


Temerloh: Seorang tukang rumah maut manakala tiga yang lain termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 125.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar ke Temerloh, di sini, malam tadi.

Pada kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa, Ridzuan Idris, 36, dari FELDA Jengka 20, Maran dekat sini, meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Mangsa parah, Ishak Lateh, 33, dan Omar Ibrahim, 36, serta kanak-kanak berusia empat tahun, Ismahaziq Zafran Ishak kini menerima rawatan susulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini.

Jurucakap polis berkata, semua mangsa berkenaan menaiki kereta Produa Viva yang dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Sungai Nerek, Maran.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mereka dilanggar dari belakang oleh Proton Iswara dipandu Zabri Awang, 34, berasal dari Kampung Baru Sri Pandan, Kuantan.

"Akibatnya kereta yang dipandu oleh Omar itu hilang kawalan sebelum terbalik di tengah jalan lalu dilanggar pula oleh Produa Myvi lain dan menyebabkan kenderaan itu berpusing.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera menghulurkan bantuan dengan mengeluarkan mangsa tersepit malah ada antara mangsa tercampak keluar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Ridzuan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di HOSHAS manakala pemandu dan penumpang Produa Viva yang parah turut dihantar ke hospital dan kini dilaporkan stabil.

"Kita sudah melakukan siasatan terhadap kejadian itu dan setakat ini kejadian mungkin berpunca apabila Perodua Viva secara tiba-tiba memasuki lorong kiri menyebabkan kenderaan lain melanggarnya.

"Kedua-dua pemandu kereta Proton Iswara serta Produa Myvi tidak mengalami kecederaan namun polis sudah mengambil keterangan mereka untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:16 AM