AFP

Paris: Wales makin menghampiri penantian lama layak ke kejohanan utama apabila jaringan Gareth Bale memastikan kemenangan 1-0 ke atas Belgium di Cardiff pada aksi kelayakan Euro 2016, awal pagi semalam.

Ketika jurulatih baru Real Madrid, Rafael Benitez menonton aksi dari bangku penonton Stadium Cardiff City, Bale mendada bola sebelum merembat masuk pada minit ke-25 berikutan kesilapan pemain tengah Belgium, Radja Nainggolan bagi meletakkan Wales di depan.

Pasukan kendalian Chris Coleman itu kemudiannya menyerap tekanan Belgium yang kini menduduki ranking kedua dunia di belakang Jerman.

Keputusan itu bermakna Wales kekal tidak kalah pada kelayakan Kumpulan B dan kini mereka mengungguli kumpulan itu, tiga mata di depan pasukan tangga kedua Belgium.

Lebih penting, dengan hanya dua pasukan dalam setiap kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Perancis tahun depan, mereka kini lima mata di depan pasukan tangga ketiga Israel, yang tewas 1-3 kepada Bosnia.

Wales, yang tidak pernah beraksi pada Kejohanan Eropah, jelas bersemangat untuk mara ke kejohanan utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 1958, dengan berbaki empat perlawanan dan bertemu Cyprus di laman lawan September ini.

“Kami bersedia dengan baik dan bekerja keras. Kami bermain dengan menarik, berjuang di setiap posisi dan saya fikir kami memang berhak menang,” kata Bale.

Dalam Kumpulan H, naib juara Euro 2012, Itali bangkit daripada ketinggalan sebelum seri 1-1 dengan Croatia pada perlawanan yang dilangsungkan tanpa penonton di Split berikutan rusuhan dan insiden membakar mercun ketika kedua-dua negara itu bertemu di Milan, November lalu.

Penyerang Atletico Madrid, Mario Mandzukic diselamatkan sepakan penaltinya oleh Gianluigi Buffon sebelum memberikan Croatia gol pendahuluan selepas 11 minit.

Namun Mandzukic kemudiannya menganugerahkan lawan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Antonio Candreva dan keputusan seri itu membolehkan kedua-dua pasukan kekal tanpa kalah selepas enam perlawanan.

Croatia, yang mana kaptennya Darijo Srna dibuang padang lewat perlawanan, mengungguli kumpulan itu dua mata di depan Itali, dengan Norway dua mata lagi di belakang di tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan di laman sendiri dengan Azerbaijan.

Pada satu lagi perlawanan dalam kumpulan itu, Bulgaria meraih kemenangan pertama apabila Ivelin Popov menjaringkan gol tunggal mengatasi Malta 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:06 AM