KONVOI amal PCR 2015 memberi pengalaman berharga kepada ahli JVOG.
KONVOI amal PCR 2015 memberi pengalaman berharga kepada ahli JVOG.
PESERTA PCR 2015 mengunjungi Pusat Tarbiah Nurul Iman di Besut, Terengganu.
PESERTA PCR 2015 mengunjungi Pusat Tarbiah Nurul Iman di Besut, Terengganu.
KONVOI PCR 2015 singgah di Asrama Anak Yatim Darus Salam di Tambun, Perak.
KONVOI PCR 2015 singgah di Asrama Anak Yatim Darus Salam di Tambun, Perak.
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin


Konvoi amal Peninsular Camping Ride (PCR) 2015 yang berlangsung pada 27 hingga 30 Mei lalu memberi pengalaman dan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ahli Kelab Pemilik Versys Johor (JVOG).

Buat julung kalinya, JVOG menjayakan konvoi ke beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia bagi tujuan amal yang turut mendapat sokongan padu Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV).

Konvoi sejauh lebih 2,000 kilometer itu bermula di Johor Bahru melalui beberapa negeri ia­itu Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka sebelum kembali semula ke Johor.

Pengarah Projek PCR 2015 Ali Qushairy Abu Kassim berkata, seramai 17 ahli JVOG mengambil bahagian dalam konvoi yang turut mendapat tajaan Kawasaki Malaysia, Sekretariat Jiwa Bangsa (Sejiwa) dan AA FourWD Workshop, Abieta Trading dan All Riders Biker’s Spa.

Menurutnya, istimewanya PCR 2015 ialah peserta konvoi bermalam di dalam khemah di tiga lokasi sepanjang laluan iaitu di Besut, Terengganu serta Lenggong dan Gopeng, Perak.

“JVOG sebelum ini menjayakan beberapa aktiviti amal bagi membantu golongan memerlukan di sekitar Johor dan ahli mengimpikan aktiviti itu dibawa keluar merentasi sempadan negeri.

“PCR 2015 adalah landasan tepat bagi merealisasikan impian itu apabila konvoi mengunjungi Pusat Tarbiah Nurul Iman di Besut, Terengganu serta Asrama Anak Yatim Darus Salam di Tambun, Perak.

“Selain beramah mesra dengan penghuni, kita menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada kedua-dua pusat terbabit yang disumbangkan oleh CGPV,” katanya.

Malah, konvoi turut melawat pejabat The New Straits Times Press (NSTP) di Bangsar, Kuala Lumpur, pada hari terakhir sebelum bertolak ke Johor Bahru dalam usaha JVOG membina hubungan baik dengan penerbit tiga akhbar utama negara ini.

PCR 2015 turut membuka ruang kepada ahli JVOG untuk mengeratkan silaturahim dengan ahli kumpulan pemilik Kawasaki Versys terutama di negeri yang dikunjungi iaitu KVOG (Kelantan), IVOG (Ipoh) dan PVOG (Pahang), GanuVOG (Terengganu) dan VOG (Kuala Lumpur).

Sepanjang empat hari tiga malam menjelajah, pelbagai pengalaman pahit dan manis ditempuhi peserta, namun semuanya dapat dilalui dengan baik tanpa sebarang insiden serius apatah lagi menyebabkan kecelakaan.

Ali berkata, konvoi ini memberi kesan mendalam kepada peserta kerana ia bukan sahaja menguji kecekapan mengendalikan jentera ketika mengharungi perjalanan melebihi 2,000 kilometer, malah mengukuhkan persahabatan antara ahli JVOG daripada pelbagai latar belakang.

“Ada dalam kalangan ahli JVOG bekerja dalam bidang profesional, tenaga kerja berkemahiran tinggi, anggota keselamatan, ahli perniagaan dan kakitangan pentadbiran. Namun kami semua berkongsi minat sama iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Selain berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu sepanjang perjalanan, peserta konvoi perlu menggunakan kecekapan masing-masing untuk mengendalikan motosikal ketika melalui jalan berbukit dan selekoh tajam dari Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak pada hari kedua konvoi.

“Namun, Alhamdulilah dengan disiplin tunggangan yang tinggi, tiada peserta terbabit dalam kemalangan kerana kami meletakkan aspek keselamatan pada tahap paling tinggi sepanjang perjalanan,” kata Ali.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat & Media CGPV Hezrin Ali yang turut mengiringi konvoi berkata, program dengan kerjasama JVOG itu diadakan bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat selain menjadi landasan untuk memperkenalkan CGPV sebagai pemaju Forest City di Johor ke seluruh negara.

“Menerusi program ini, kita dapat membantu mereka yang memerlukan dan pada masa sama memberitahu masyarakat bahawa penunggang motosikal berkuasa tinggi juga aktif dalam kerja amal.

“Kami gembira dapat menjayakan aktiviti ini dengan JVOG dan melihatnya sebagai jalinan kerjasama yang memberi manfaat melalui kegiatan sihat untuk berbakti kepada masyarakat melalui cara tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:04 AM