FABREGAS (kiri) jaring gol kemenangan Sepanyol.
FABREGAS (kiri) jaring gol kemenangan Sepanyol.

Leon, Sepanyol: Cesc Fabregas mencetak gol kemenangan ketika pasukan eksperimen Sepanyol bangkit sebelum menundukkan Costa Rica 2-1 pada perlawanan persahabatan awal pagi semalam menjelang kelayakan Euro 2016 menentang Belarus.

Johan Venegas mengejutkan Sepanyol apabila memberikan pelawat gol pendahuluan selepas lima minit namun Paco Alcacer menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi penamat klinikal.

Costa Rica terus mencetus ancaman sebelum rehat namun Fabregas menolak masuk dari jarak dekat pada minit ke-29 dan Sepanyol berpeluang meraih kemenangan lebih selesa selepas rehat.

Pertahanan Barcelona, Gerard Pique tampil pada babak kedua dan diejek sebilangan penyokong Real Madrid yang marah dengan cara dia menyindir pasukan mereka ketika meraikan kemenangan tiga trofi kelab Catalunya itu musim ini.

Sepanyol kini mengalih tumpuan kepada kelayakan Euro 2016 Kumpulan C di Belarus awal pagi Isnin ini. Mereka meraih 12 mata daripada lima perlawanan di belakang Slovakia yang mengumpul 15 mata.

Sepanyol kendalian Vicente del Bosque yang menang dua kejuaraan terakhir Euro, berhasrat bangkit selepas hilang mahkota Piala Dunia di Brazil tahun lalu apabila terkandas pada peringkat kumpulan.

Aleix Vidal melakukan penampilan sulung ketika Del Bosque terus memberi peluang kepada muka baru dan membentuk semula pasukan Sepanyol berikutan persaraan pemain utama seperti pemain tengah Xavi Hernandez dan Xabi Alonso. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:15 AM