TUNJUK perasaan membantah program pemandulan.
TUNJUK perasaan membantah program pemandulan.
RATUSAN ribu wanita Peru dipaksa jalani pembedahan pemandulan.
RATUSAN ribu wanita Peru dipaksa jalani pembedahan pemandulan.
Susunan Faizatul Farlin Farush Khan


Esperanza Huayama, 59, yang mengandung tiga bulan ketika itu adalah antara ribuan yang bersetuju menaiki bas pada suatu pagi 20 tahun lalu untuk menempuh perjalanan selama tiga jam ke sebuah klinik.

Ketika baring di atas katil klinik, Huayama mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena, tetapi segalanya sudah terlambat. Tidak lama selepas dia baring, doktor datang dan menyuntik ubat bius.

Sebaik sedar, Huayama mendapat tahu dia sudah pun menjalani pembedahan pemandulan dan menjadi sebahagian mangsa kempen kawalan kelahiran yang secara khusus menyasarkan wanita peribumi di bahagian pedalaman dan kawasan paling mundur di negara Amerika Selatan itu.

Katanya, dia tidak pernah memberi persetujuan atau menurunkan tandatangan sebaliknya ditipu oleh pihak klinik yang mengatakan mahu memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Saya tidak pernah bersetuju. Mereka menipu kami. Jururawat mengatakan mereka mahu beri rawatan percuma, ubatan dan makanan. Mereka kata ia bagus untuk diri dan kesihatan kami.

“Mereka juga mengugut kami dengan berkata sesiapa yang tidak mahu menurut (kehendak mereka) tidak akan menerima sebarang rawatan kesihatan pada masa hadapan,” katanya yang tinggal di wilayah Huancabamba, Peru.

Menurut kumpulan aktivis di negara itu, kempen berkenaan adalah skandal hak asasi manusia terbesar di Peru dan wanitanya sering diugut akan didenda atau dipenjarakan jika enggan menjalani prosedur pemandulan.

Huayama berkata, wanita menjerit dan menangis kerana tidak tahan kesakitannya. Mereka dibedah dengan cepat dan dilayan seperti haiwan.

“Kami tidak diberi sebarang ubat, tiada apa-apa pun. Apabila kumpulan doktor itu habis menjalankan tugas, mereka hanya menutup pintu dan pulang ke Lima,” katanya yang kehilangan bayinya akibat kelahiran pramatang beberapa minggu selepas pembedahan itu.

Kertas siasatan berkaitan dakwaan puluhan ribu wanita dan lelaki di Peru dimandulkan secara paksa menerusi program biayaan kerajaan kini dibuka semula di negara itu.

Ketika era 1990-an, puluhan ribu penduduk peribumi di negara itu dimandulkan melalui program yang dikepalai oleh mantan Presidennya Alberto Fujimori, dikatakan sebagai usaha kerajaan untuk mengawal kadar kelahiran rakyatnya yang agak tinggi.

Lebih 2,000 wanita mendakwa tertipu kerana dimandulkan tanpa dimaklumkan terlebih dulu atau memberi sebarang kebenaran untuk menjalani pembedahan pemandulan.

Pada masa sama, dakwaan berkenaan turut mengatakan seramai 18 wanita meninggal dunia akibat prosedur yang tidak berperikemanusiaan itu.

Bagaimanapun, siasatan terhadap Fujimori mengenai dakwaan program kawalan kelahiran itu gagal mensabitkan bekas presiden terbabit dan pegawai lain terhadap sebarang jenayah komuniti sebelum kes itu ditutup pada 2014.

Siasatan kali ketiga

Tidak puas hati dengan keputusan berkenaan, kumpulan hak asasi manusia di negara itu bertindak menfailkan aduan.

Menurut pendakwa raya, Luis Antonio Landa Burgos, siasatan kali ini akan turut membabitkan kenyataan baru daripada mangsa yang didakwa dipaksa menjalani pembedahan pemandulan di kawasan lain di Peru.

Notis sepanjang 56 muka surat itu tidak menamakan Fujimori atau bekas pegawainya untuk didakwa dengan sebarang jenayah, tetapi kumpulan hak asasi menjangkakan peranan mereka akan diteliti semula sepanjang penyiasatan dijalankan.

Menurut BBC, sebuah suruhanjaya bebas mendedahkan 346,219 wanita dan kira-kira 24,535 lelaki dimandulkan sepanjang tujuh tahun Fujimori memegang mandat sebagai presiden pada 2002. Alasan Fujimori adalah kelahiran yang terkawal akan menghapuskan kedaifan hidup di Peru.

Fujimori menjalani hukuman penjara kerana jenayah rasuah dan pencabulan hak asasi manusia, namun tidak pernah didakwa atas kesalahan menjalankan program pemandulan.

Dia mengekalkan ke­nyataan bahawa pemandulan hanya dilakukan secara sukarela terhadap lelaki atau wanita yang sudah memberi kebenaran.

Ketua organisasi feminis Peru, Maria Cedano, berkata, mereka sudah lama menunggu saat kerajaan membuat siasatan terhadap 2,073 kes dan mensabitkan kesalahan terhadap Fujimori dan pegawainya.

Bulan lalu, Luis mengarahkan siasatan jenayah terhadap kes pemandulan secara paksaan dibuka semua, kali ketiga siasatan sama dibuka semula sejak 2009.

Luis berkata, siasatan akan diperluaskan untuk merekodkan kenyataan dan dakwaan mangsa daripada kawasan berlainan di Peru. Pengumuman itu pasti memberi tekanan baru kepada Fujimori, sepanjang siasatan selama tiga bulan berkenaan dijalankan.

Huayama adalah antara 2,000 wanita yang memberi kenyataan kepada kumpulan hak asasi Peru dan antarabangsa. Pendakwa raya mendakwa wanita terbabit dimandulkan tanpa dimaklumkan mengenainya.

Wanita itu tidak menurunkan tandatangan dalam borang tertulis bahasa Sepanyol dan kebanyakannya tidak tahu apa yang dipersetujui kerana mereka buta huruf dan hanya bercakap dalam dialek Quechua.

“Keadilan bagi kami adalah apabila kerajaan dapat memastikan perkara sebegini tidak akan berulang. Mereka perlu meminta maaf. Kami sedang menunggu permohonan maaf,” kata Huayama.

Menurut pakar, skandal itu akan dijadikan isu sekali lagi menjelang pemilihan presiden negara itu tahun depan. Penyandang jawatan berkenaan, Presiden Ollanta Humala, mengeksploitasi kontroversi itu dalam usaha merebut kuasa pada 2011, bersaing dengan anak perempuan Fujimori, Keiko Fujimori, yang mendapat sokongan ramai wanita.

Tubuh seolah-olah ‘kering’

Selepas dua dekad berlalu, pengalaman ngeri Huayama meninggalkan parut secara fizikal dan mental. Katanya, dia dan mangsa lain tidak akan sama lagi seperti sebelum menjalani pembedahan.

“Kami masih menanggung derita. Saya tidak lagi boleh melakukan kerja pertanian atau mengangkat kayu. Saya jadi murung selama berbulan-bulan selepas prosedur berkenaan.

“Sesetengah wanita merasakan tubuh mereka seolah-olah ‘kering’, tidak subur lagi, jadi tanah juga menjadi tidak subur,” katanya yang mengetuai kumpulan wanita tempatan berjuang mendapatkan keadilan.

Apa yang menjadi matlamatnya kini adalah menyebarkan maklumat berkaitan pemandulan paksaan berkenaan kepada seramai wanita yang boleh. Hasilnya, dia dan 60 lagi mangsa menggunakan talian telefon percuma untuk menceritakan pengalaman hitam mereka itu.

Dijalankan oleh Quipu iaitu sebuah projek dokumentari multimedia, talian itu membuka peluang kepada wanita untuk merekod dan berkongsi pengalaman itu dengan seramai mungkin.

“Kami akan terus mempertahankan hak asasi manusia supaya orang ramai di dalam dan di luar Peru dapat mendengar dan tahu bahawa hak asasi kami telah diceroboh. Kami menderita dan jenayah ini benar-benar berlaku,” kata Huayama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 12:28 PM