KEIKO disambut penyokongnya ketika tiba di  pusat pengundian  di Lima, Peru.
KEIKO disambut penyokongnya ketika tiba di pusat pengundian di Lima, Peru.
Agensi

Lima: Keiko Fujimori, anak perempuan bekas presiden yang ketika ini dalam penjara. mendahului pilihan raya Peru, semalam.

Dia bagaimanapun dijangka menghadapi persaingan sengit dalam pengundian pusingan kedua apabila berdepan dengan pakar ekonomi, Pedro Pablo Kuczynski pada Jun depan.

Keiko, 40, anak pemimpin Peru pada 1990-an, Alberto Fujimori gagal memperoleh 50 peratus undi diperlukan untuk memenangi secara mutlak pilihan raya kelmarin.

Dengan 40 peratus undi sudah dikira, Keiko memperoleh 39 peratus sokongan sementara Kuczynski, bekas pakar ekonomi Bank Dunia, meraih 24 peratus.

Seorang lagi calon, anggota Parlimen berhaluan kiri, Veronika Mendoza berada di belakang dengan 17 peratus undi.

Walaupun mendahului pengundian kelmarin, kajian dilakukan menunjukkan tentangan terhadap Keiko meningkat sejak awal tahun. Ramai membantah pemerintahan bapanya dipercayai akan menyokong penentangnya pada pusingan kedua kelak, tidak kira sama ada Kuczynski atau Mendoza.

Peluang Keiko menang pada pusingan kedua pada 5 Jun ini bergantung kepada kejayaannya menjarakkan diri daripada bapanya yang dipenjara 25 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan pencabulan hak asasi manusia.

Keiko dalam kempennya berjanji tidak akan menggunakan kuasanya untuk membebaskan bapanya jika menjadi presiden.

Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia tidak yakin dan tunjuk perasaan 5 April lalu untuk membantah Keiko, menarik puluhan ribu warga Peru.

Kajian pendapat menunjukkan Keiko mungkin kalah kepada Kucyznski sekiranya kedua-duanya bertanding dalam pusingan kedua kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 10:22 AM