AFP

Madrid: Bintang Barcelona dari Brazil Neymar (gambar) menyatakan memenangi anugerah Ballon d’Or satu daripada sasarannya namun dia tetap tidur lena sekalipun jika tidak pernah meraih anugerah individu utama dalam kancah bola sepak dunia itu.

“Jika saya tidak menang Ballon d’Or, tetap OK,” katanya dalam satu temu ramah dalam laman web La Liga kelmarin apabila ditanya sekiranya dia kecewa tidak dinamakan sebagai tiga finalis anugerah itu tahun ini.

“Saya tidak bermain bola untuk memenangi Ballon d’Or, saya bermain bola sepak untuk gembira kerana saya sukakannya, kerana saya mahu bermain bola sepak. Sayangnya hanya seorang boleh memenanginya,” tegasnya.

“Sudah tentu ia satu daripada sasaran saya memenangi Ballon d’Or tapi saya tidak mati jika tidak memenanginya.”

Anugerah Ballon d’Or saling bertukar ganti antara bintang Real Madrid dari Portugal, Cristiano Ronaldo dan perancang utama Barcelona dari Argentina, Lionel Messi bagi sembilan tahun terakhir sejak Kaka dari Brazil memenanginya pada 2007.

Neymar menjadi finalis buat kali pertama tahun lalu sebelum tewas kepada Messi yang menang buat kali kelima.

Ronaldo dinobat pemenang Ballon d’Or 2016 awal bulan ini selepas membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara selain mengemudi Portugal meraih kegemilangan Euro 2016.

Sejak berpindah ke Barcelona dari kelab Brazil, Santos pada 2013, Neymar sudah memenangi dua kejuaraan liga, dua piala domestik, Piala Super Sepanyol, Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia.

Bermain di samping Messi, penjaring gol terbanyak kelab itu, serta bintang Uruguay, Luis Suarez, yang berakhir sebagai penjaring terbanyak La Liga musim lalu, pemain berusia 24 tahun itu memantapkan dirinya sebagai seorang pemain terbaik dunia. Trio itu mengumpul 131 gol antara mereka sepanjang musim lalu.

“Agak pelik kerana seorang daripada kami warga Brazil, seorang lagi Argentina dan seorang lagi Uruguay, kami bermusuh di negara kami di Amerika Selatan,” ujar Neymar.

“Saya tak tahu apa yang berlaku. Kami mempunyai ikatan persahabatan yang kukuh, kami sering bergurau senda sesama sendiri. Ia membuatkan saya gembira mempunyai rakan sebegini dalam bola sepak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 8:19 AM